Strategi kukuhkan nilai ringgit

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dicadangkan menarik lebih banyak kemasukan pelabur asing ke negara ini sebagai langkah konkrit menangani penurunan nilai ringgit.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia, Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan berkata, lebih banyak jumlah pelaburan asing mengalir dalam negara, permintaan terhadap ringgit akan lebih tinggi sekali gus melonjakkan semula nilainya.

Mohamad Khair Afham
Mohamad Khair Afham

“Jadi kerajaan perlu menaikkan nama negara lebih daripada negara ASEAN lain sebagai tarikan kepada pelabur asing untuk datang melabur.

“Antara galakan yang boleh dilakukan supaya pelabur luar datang seperti meningkatkan produktiviti pekerja, memberi pengurangan cukai jika pelabur itu mengambil pekerja mahir tempatan dan memberikan subsidi kepada mereka yang memberi biasiswa kepada pekerja tempatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ringgit pada Isnin dilaporkan meneruskan aliran penurunannya apabila ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin selepas hasil Perbendaharaan 10 tahun AS mencecah paras 5.0 peratus dalam senario ketegangan geopolitik di Timur Tengah.

Pada jam 6 petang, unit tempatan itu merosot 0.49 peratus kepada 4.7900 berbanding dolar AS daripada 4.7655, Jumaat lepas.

Mengulas lanjut, Mohamad Khair Afham berkata, kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) secara terknikalnya juga akan membantu menaikkan semula nilai ringgit.

Artikel Berkaitan:

“Akan tetapi kesan yang lebih besar adalah kepada rakyat yang sedang menanggung hutang (pinjaman institusi perbankan) sedia ada dan ditambah lagi dengan kenaikan harga barang komoditi.

“Oleh itu, langkah menangani kemerosotan ini perlu dibuat kerajaan tetapi bukan dengan kosnya dihalakan kepada rakyat contohnya menerusi kenaikan OPR yang secara langsung akan membebankan rakyat,” ujarnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan prestasi ringgit akan lebih buruk dengan turun ke paras RM5 bagi AS$1 jika kerajaan tidak mengambil sebarang langkah bagi menangani kemerosotan itu.

Kata Mohamad Khair Afham, jika turun ke paras RM5, kesan lebih besar adalah kepada barangan import yang diniagakan dalam tukaran dolar AS apatah lagi negara bergantung kepada barangan import seperti makanan dan barang keperluan harian.

“Bagaimanapun sebagai sebuah negara ekonomi kecil berbanding negara besar dunia, kita tidak boleh (tidak mampu) ubah kadar tukaran mata wang asing dalam jangka masa pendek.

“Apa yang rakyat dan peniaga boleh buat adalah elakkan untuk berurusan menggunakan dolar AS dalam jangka masa terdekat ini,” katanya.