ZDP, SJAM usaha tangani isu pencemaran air di Selangor

Jamaliah Jamaluddin
Jamaliah Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengambil inisiatif melaksanakan Dasar Pelepasan Sifar atau Zero Discharge Policy (ZDP) bagi memperkasakan pengurusan sumber air di negeri ini.

Exco Kesihatan Awam, Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau negeri, Jamaliah Jamaluddin berkata, melalui ZDP, semua air sisa atau efluen yang terhasil daripada aktiviti harian manusia akan dikawal, diuruskan dan dipastikan perlu melalui proses rawatan sebelum dilepaskan masuk ke sumber air.

Menurutnya, dasar ini bukan bertujuan menambah kos operasi tetapi menjurus kepada usaha memupuk kesedaran dan penyediaan infrastruktur alam sekitar.

"Melalui pelaksanaan ini, pihak yang melakukan pencemaran (pencemar) perlu menanggung kos langkah pencegahan dan kawalan pencemaran.

"Ia juga sebagai galakan kepada premis untuk melaksanakan kitar semula air sisa bagi mengurangkan kemasukan efluen ke dalam sumber air seterusnya sebagai komitmen dalam pemuliharaan sumber air di Selangor, " katanya.

Beliau berkata demikian mengulas langkah dilakukan kerajaan negeri bagi mengatasi pencemaran sungai yang menyebabkan henti tugas loji rawatan air (LRA) seterusnya gangguan air kepada pengguna di Selangor.

Beliau berkata, cadangan pelaksanaan ZDP akan meningkatkan lagi keberkesanan langkah pencegahan pencemaran sungai daripada sisa kimia dan biologi disebabkan pelepasan industri, loji rawatan kumbahan, penternakan, kerja tanah dan perniagaan seperti pasar dan bengkel serta pelbagai jenis aktiviti harian lain.

Tambahnya, pelaksanaan ZDP ini secara tidak langsung akan membantu dalam usaha untuk memulihara sumber air dengan mencegah serta mengelak kemasukan sisa pencemaran ke dalam sumber air.

Artikel Berkaitan:

"Ia sekali gus dapat menangani isu pencemaran sungai dan meningkatkan kualiti air.

"Cadangan pelaksanaan ZDP ini akan memastikan usaha kerajaan negeri untuk meminimumkan kes pencemaran sungai yang berpotensi mengakibatkan henti tugas LRA (loji rawatan air) dicapai dan seterusnya dapat mengurangkan kos bagi melaksanakan kerja-kerja pemulihan sungai yang tercemar, " katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak enam kompaun telah dikeluarkan pada tahun 2022 dan tambahan empat kompaun sehingga bulan September 2023 terhadap kilang yang dikesan penyebab kepada pencemaran.

Ujarnya, tindakan dilaksanakan di bawah Seksyen 79(1) Enakmen LUAS 1999 dengan jumlah keseluruhan nilai kompaun sebanyak RM400,000

Selain itu katanya, bagi menyelesaikan masalah henti tugas LRA kesan daripada masalah kualiti air, kerajaan Selangor sedang melaksanakan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang merangkumi LRA Sungai Selangor dan Sungai Semenyih.

"Terdapat tiga pakej projek di Sungai Selangor yang membolehkan sumber air di Kolam HORAS 600 disalurkan terus ke LRA SSP1, SSP2 dan SSP3 sementara sumber air di ORS Bestari Jaya disalurkan ke LRA Rantau Panjang.

"Selain itu, terdapat satu pakej di Sungai Semenyih untuk menyalurkan sumber air di Kolam A, B, C disalurkan ke LRA Semenyih.

"Projek SJAM ini dijangka dapat beroperasi di penghujung tahun 2023," katanya.