Tangani isu penerokaan haram REE secara serius, elak berlaku di kawasan lain

Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik.
Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik.
A
A
A

SIK - Isu penerokaan unsur nadir bumi (REE) secara haram di Hutan Simpan Bukit Enggang di sini dikhuatiri boleh berlaku di kawasan lain sekitar daerah ini jika pihak yang berkenaan tidak mengambil langkah serius untuk menangani perkara itu.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid berkata, ini kerana REE bukan sahaja terdapat di hutan simpan terbabit malah di kawasan lain menyebabkan penduduk Kampung Chong dan Kampung Sungai Senam yang terletak berhampiran bimbang kejadian sama akan berulang.

"Baru-baru ini, saya ada membuat tinjauan bersama mereka dan tidak mengesan sebarang kegiatan mencurigakan di hutan berkenaan... bagaimanapun, penduduk kampung mempersoal mengapa tiada tindakan pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa.

"Kita risau perkara itu akan membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab melakukan pencerobohan di kawasan lain pula,” katanya pada sidang media di Pusat Pembiakan Landak Raya Jeneri hari ini.

Pada masa sama, beliau mencadangkan agar pihak berkuasa menubuhkan satu jawatankuasa siasatan yang mengkaji dan menyiasat isu di sebalik penerokaan REE secara haram itu.

"Saya juga memohon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar isu penerokaan REE diletakkan di bawah Majlis Keselamatan Negara seperti isu Bukit Malut di Pulau Langkawi,” katanya.

Pada Oktober tahun lepas, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan bahawa berlaku kegiatan mencuri REE di Hutan Simpan Bukit Enggang namun menafikan penglibatan kerajaan negeri atau Syarikat Prospek Suria Sdn Bhd yang diberi lesen eksplorasi untuk mengkaji potensi mineral itu.

Pada 13 April lepas, seramai 40 individu termasuk 35 warga asing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Baling atas pertuduhan menceroboh Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik. - Bernama