Malaysia turut serta dalam UNGA, bincang isu Palestin Khamis ini

Fahmi ketika ditemui media selepas Himpunan Malaysia Bersama Palestine, di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada Selasa.
Fahmi ketika ditemui media selepas Himpunan Malaysia Bersama Palestine, di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan turut serta dalam satu sidang khas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 26 Oktober ini bagi membincangkan isu berkenaan Palestin.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya telah dimaklumkan Wisma Putra bahawa perkara itu dibenarkan untuk dibahas.

Menurutnya, ia merupakan pengiktirafan bahawa Malaysia tetap tegas dengan pendirian apabila bercakap mengenai kebebasan dan keadilan terhadap rakyat Palestin.

“Bagi saya, ia satu penghormatan, setelah kita saksikan kezaliman yang dilakukan rejim Zionis Israel,” katanya selepas selesai Himpunan Malaysia Bersama Palestin di sini pada Selasa.

Himpunan anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Global Peace Malaysia (GPM) itu turut melibatkan lebih 40 badan bukan kerajaan (NGO) seperti Malaysian Humanitarian Aid And Relief (Mahar), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), MyAqsa Defenders, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Fahmi memaklumkan, kehadiran seramai 30,000 pengunjung ke himpunan berkenaan diharapkan dapat menjadi pencetus dan pemberi semangat buat rakyat di negara ini.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai yang ingin menyampaikan sumbangan supaya memilih agensi atau badan yang diiktiraf kerana khuatir berlaku penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan mengenai isu yang dibangkitkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) berhubung kebenaran kutipan Tabung Aman Palestin.

“Kita harus waspada kerana saya tahu ramai nak beri sumbangan, tapi kena pastikan ia disampaikan kepada pihak yang benar-benar salurkannya kepada Palestin,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!