PM keliling negara Arab nyatakan pendirian tegas mengenai Palestin

Anwar (tengah) ketika hadir pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar (tengah) ketika hadir pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil keputusan mengelilingi negara Arab baru-baru ini bagi memperjuang dan menyatakan pendirian tegas Malaysia terhadap nasib rakyat Palestin.

Menurutnya, semangat yang ditunjukkan rakyat Malaysia dalam memperjuangkan hak Palestin mendorong beliau berbuat demikian kerana tidak mahu sekadar membuat kenyataan bertulis semata-mata.

"Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed Salman mengundang saya membuat lawatan sehari bagi membincangkan dari hati ke hati dan tajuk utama adalah mengenai Gaza.

"Saya beritahu kepada mereka, kita (rakyat Malaysia) bersama-sama memberi sokongan padu agar ada suara tegas dan sepakat bahawa kali ini dunia Islam jangan kelihatan lesu serta bangkit mempertahankan hak Palestin.

"Dua jam saya berbincang mengenai langkah perlu diambil dan sikap tidak bersalah Amerika Syarikat (AS) serta Kesatuan Eropah (EU) yang sama sekali tidak mempedulikan soal kemanusiaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Malaysia Bersama Palestin yang diadakan di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil di sini pada Selasa.

Anwar ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Tambah Anwar, selain ke Istanbul, beliau ke Kaherah bagi bertemu Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi kerana negara itu mempunyai peranan besar di sempadan Rafah.

Artikel Berkaitan:

"Saya beritahu, mana kemanusiaan dan hak asasi mereka? Kami mahu rakyat Palestin dilayan selayaknya, berhenti membunuh serta diberi makan. Adakah melampau permintaan ini?

"Dari keterangannya, beliau kata kalau 200 kontena dibawa masuk ke Gaza akan diizinkan sekarang juga dan alasannya menutup pintu sempadan berkenaan kerana tidak mahu Israel menghambat keluar rakyat Palestin.

"Mesir juga nyatakan sokongan dan akan bantu mengirimkan bantuan dari mana-mana negara sahaja seperti Turkiye, Malaysia dan sebagainya," ujarnya.