Lebih 280 asnaf Perak jadi usahawan berjaya

Seramai 30 peserta berjaya menjalani kursus refleksologi dan urutan yang disediakan Humaira Training Centre di bawah program PROPER A MAIPk di Ipoh.
Seramai 30 peserta berjaya menjalani kursus refleksologi dan urutan yang disediakan Humaira Training Centre di bawah program PROPER A MAIPk di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Lebih 280 asnaf di Perak kini menjadi usahawan berjaya dengan memiliki perniagaan sendiri di bawah program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (PROPER A).

Pengurus Besar Agihan Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Rohizan Omar berkata, jumlah itu melibatkan 70 peratus daripada lebih 400 peserta yang menyertai kursus yang disediakan sekali gus menjadi pengeluar zakat.

"Baki 30 peratus yang masih belum keluar daripada kelompok asnaf, MAIPk akan teruskan bimbingan dengan melakukan pemantauan terhadap aktiviti perniagaan mereka.

"Kita akan panggil peserta ini semula untuk pemantapan kursus, menambah jaringan perniagaan dan strategi pemasaran agar mereka memperoleh pendapatan lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Peralatan Bantuan Perniagaan dan Pelancaran Produk Perkhidmatan Kursus Refleksologi dan Urutan PROPER A yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) MAIPk, Wan Maizura Wan Zahari di sini pada Selasa.

Menurut Rohizan, pihaknya akan memperluaskan kursus PROPER A dalam bidang pertanian bagi memperkasakan sekuriti makanan negara.

Khairruddin (dua dari kanan) menerima sijil kursus dan bantuan peralatan perniagaan selepas tamat menjalani kursus PROPER A yang disampaikan oleh Wan Maizura (dua dari kiri) di Ipoh.
Khairruddin (dua dari kanan) menerima sijil kursus dan bantuan peralatan perniagaan selepas tamat menjalani kursus PROPER A yang disampaikan oleh Wan Maizura (dua dari kiri) di Ipoh.

"Tanaman ini merupakan antara keperluan masyarakat yang difikirkan baik untuk dimasukkan dalam program ini.

Artikel Berkaitan:

"Kursus-kursus sedia ada seperti refleksologi serta kulinari dan pastri yang mendapat permintaan akan dikekalkan," katanya.

Sementara itu, bekas pekerja kilang, Khairruddin Mazli, 32, berkata, inisiatif disediakan MAIPk memberi ruang kepadanya untuk meningkatkan kemahiran sebagai tukang urut.

Dia yang cacat penglihatan akibat glaukoma sejak 12 tahun lalu hanya menjalankan perniagaan urutnya di kaki lima premis dan taman rekreasi bagi menambah pendapatan.

"Saya belajar kemahiran ini di Jalan Brickfield, Kuala Lumpur dan kini meneruskan khidmat urutan bersama rakan niaga di sebuah premis di Meru Raya.

"Bagaimanapun, situasi ekonomi selepas pandemik yang tidak menentu, bisnes kami hanya cukup bayar sewa premis," katanya.

Khairruddin berkata, menerusi program PROPER A itu, MAIPk dapat membantu menambah baik skop perniagaannya dengan bantuan diberikan.

"Saya dapat mempelajari teknik urutan dan sauna malah kelengkapan yang diberikan seperti pemeriksaan tekanan darah membantu menambah baik perkhidmatan kami.

"Melalui kursus ini, saya dapat belajar strategi perniagaan baik dan mereka juga akan membantu mempromosikan bisnes kami menerusi video di platform media sosial," katanya.