Anwar tak perlu takut dengan bayang-bayang sendiri - Mohd Zuhdi

(Dari kiri) hos, Ismail Adnan; Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, RSN Rayer; Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
(Dari kiri) hos, Ismail Adnan; Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, RSN Rayer; Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

SHAH ALAM - Gerakan untuk menjatuhkan kerajaan bukan baharu berlaku tetapi sudah wujud sejak tahun 1998 lagi.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki mengingatkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak cepat melatah dan menyalahkan mana-mana pihak tentang wujudnya gerakan itu.

Menurutnya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga sebelum ini pernah mengetuai gerakan menjatuhkan kerajaan.

“Waktu itu saya sendiri pun terlibat saya bersama beliau (Anwar) turun ke jalan raya, bila dia naik jadi kerajaan dia nampak orang lain macam tu juga.

“Kenyataan-kenyataan kata kita akan ambil kerajaan pada bulan lapan (Ogos) itu biasa. Itu dinamakan perang politik, kalau betul maka ia akan berlakulah,” katanya dalam Wacana Sinar Siri 405 yang bertajuk PRN: Banyak Isu Belum Selesai? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Selasa.

Program dihoskan Ismail Adnan dan turut menampilkan tiga panelis lain iaitu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Mohd Yadzil Yaakub; Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, RSN Rayer.

Mohd Zuhdi turut mengingatkan agar Perdana Menteri itu tidak takut kepada bayang-bayang sendiri.

“Kerajaan yang ada sekarang ini mempunyai dua pertiga sokongannya kecuali kalau di dalam parti komponen kerajaan sendiri mereka pun prejudis sesama sendiri.

“Tak yakin dengan orang itu, tak yakin dengan orang ini, itu yang menyebabkan dia akan jatuh bukan sebab pengkhianatan sebab mereka sendiri prejudis sebagaimana yang berlaku pada pemerintahan 22 bulan yang lalu,” jelasnya.

Tambahnya, disebabkan saling curiga mencurigai ini yang boleh menjadikannya melarat.

"Kita tidak boleh lihat isu ketidakstabilan kerajaan ini sebagai satu masalah dan ianya bukanlah isu berkaitan dengan sensasi.

“Saya nampak isu hakikinya adalah disebabkan sistem multiparties kerana Malaysia lepas PRU14 mempunyai gabungan parti yang pelbagai,” ujarnya

Jelas Mohd Zuhdi lagi, isu itu hanya boleh diselesaikan jika BN dan PH menjadi satu parti.

“Jadi kita hanya ada PN dan PH dan bila ada hanya dua parti saya yakin lompat melompat dan seumpamanya tidak akan berlaku.

“Kita dah ada akta lompat parti dan harap PRN kali ini akan menuju kepada sistem dua parti,” kata Mohd Zuhdi.