Perkampungan Ikan Bakar Klasik Terapung terbiar sepi

Perkampungan Ikan Bakar Klasik Terapung, di Umbai, di sini, yang terbiar sejak beberapa bulan lalu. Gambar kecil: Idris
Perkampungan Ikan Bakar Klasik Terapung, di Umbai, di sini, yang terbiar sejak beberapa bulan lalu. Gambar kecil: Idris
A
A
A

JASIN - Perkampungan Ikan Bakar Klasik Terapung, di Umbai, di sini, yang pernah popular dengan pelbagai gerai ikan bakar kini terbiar sejak beberapa bulan lalu.

Tinjauan mendapati bangunan yang mula beroperasi pada tahun 2004 dengan kos dianggarkan RM9.1 juta kelihatan tidak terurus ditumbuhi lalang, selain sampah sarap di merata tempat.

Difahamkan bangunan yang sering riuh dengan kehadiran pengunjung dan terdapat lebih 20 buah gerai ikan bakar itu tidak lagi beroperasi selepas tidak mendapat sambutan sejak Mac lalu.

Bangunan dua tingkat itu juga sebelum ini dilengkapi beberapa kemudahan seperti surau, bilik mesyuarat dan juga gerai kraftangan yang beroperasi dari jam 5 petang hingga 12 malam.

Gerai medan selera ikan bakar yang tidak lagi beroperasi.
Gerai medan selera ikan bakar yang tidak lagi beroperasi.

Peniaga runcit berdekatan, Idris Menhat, 63, berkata, suasana sebelum ini begitu meriah kerana perkampungan ikan bakar tersebut mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri termasuk menjadi lokasi pengunjung melihat matahari terbenam.

Malah menurutnya, reka bentuknya seperti bangunan terapung memberi kelainan dan suasana tenang kepada pengunjung ketika menjamu selera.

Katanya, kerajaan negeri perlu segera membaik pulih dan membangunkan semula bangunan tersebut sebagai lokasi tarikan pelancong.

Artikel Berkaitan:

"Dulu sampai ke kedai saya kenderaan parkir untuk ke ikan bakar tersebut, dan menunjukkan betapa ramainya pengunjung.

"Namun hari ini keadaan sunyi, rugi jika dibiarkan tanpa sebarang perancangan," katanya.

Keadaan Perkampungan Ikan Bakar Klasik Terapung yang pernah popular satu masa dulu.
Keadaan Perkampungan Ikan Bakar Klasik Terapung yang pernah popular satu masa dulu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCorp), Datuk Mohd Yusof Abu Bakar berkata, medan selera yang ditutup sejak Januari lalu akan ditransformasikan sebagai chalet penginapan yang turut dilengkapi taman tema air mini.

Menurutnya, perancangan penjenamaan semula tempat itu akan dilaksanakan tahun depan selain turut akan diwujudkan jeti pelancongan untuk memudahkan pengunjung ke Taman Laut Melaka membabitkan tiga pulau.

Katanya, pembinaan itu melibatkan dua fasa iaitu fasa pertama bernilai RM5 juta menggunakan peruntukan Mcorp, manakala fasa kedua kerajaan negeri akan memohon peruntukan berjumlah RM32 juta bagi mewujudkan jeti tersebut.

"Fasa pertama termasuk kerja baik pulih 24 lot gerai makan menjadi 24 buah chalet, taman tema air, enam gerai kraftangan, sebuah restoran makanan laut, menara tinjau dan pentas persembahan," katanya.