Tujuh bangunan kerajaan, swasta diiktiraf cekap tenaga

Nik Nazmi - Foto Bernama
Nik Nazmi - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tujuh bangunan agensi kerajaan dan syarikat swasta menerima pengiktirafan cekap tenaga berstatus lima bintang di Majlis Penyerahan Label Intensiti Tenaga Bangunan (BEI) bagi tahun 2022.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tujuh bangunan tersebut ialah Suruhanjaya Tenaga, Tabung Haji, Lembaga Pelabuhan Johor dan Ambank Tropicana.

Selain itu, Lembaga Hasil Dalam Negeri Cawangan Kuala Lumpur, Kementerian Kerja Raya dan NRECC (Blok F11, Parcel F, Putrajaya).

“Penarafan ini menggalakkan pemilik bangunan mengoptimumkan tahap penggunaan tenaga di bangunan mereka serta mengamalkan langkah-langkah penggunaannya secara cekap.

“Inisiatif ini menyokong pelaksanaan pengurangan penggunaan tenaga elektrik bagi sektor bangunan dalam negara.

“Pencapaian itu dapat meningkatkan kesedaran serta menimbulkan minat lebih mendalam bagi pemilik bangunan untuk mendapatkan lagi penarafan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Nik Nazmi, pelabelan itu sebagai instrumen yang mudah dan boleh diguna pakai dengan segera untuk menilai prestasi kecekapan penggunaan tenaga di dalam sesebuah bangunan.

Jelasnya, pihak Suruhanjaya Tenaga memulakan inisiatif tersebut secara berperingkat pada 2018 dengan fasa pertama yang melibatkan bangunan-bangunan kerajaan persekutuan dan diperluaskan lagi kepada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, hospital serta klinik kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Menurut data National Energy Balance 2020, sektor bangunan merangkumi hampir 26.6 peratus penggunaan tenaga elektrik bersamaan dengan pelepasan CO2 sebanyak 31.6 MtCO2, penggunaan kedua tertinggi selepas sektor industri iaitu pada 48.9 peratus.

“Penjimatan penggunaan tenaga elektrik oleh sektor ini akan menyumbang secara langsung kepada pencapaian aspirasi pelepasan gas rumah kaca sifar bersih seawal tahun 2050,” ulasnya.

Menurut beliau, sasaran NRECC bagi inisiatif tersebut sebanyak 300 bangunan pejabat dilabel dari 2018 sehingga 2023.

Ujarnya, kementerian itu menyasarkan 600 bangunan termasuk pejabat, hospital dan universiti pada 2023 sehingga 2028 manakala 1,000 bangunan itu akan dilabelkan bagi tahun selepas 2028.

“Sebanyak 441 bangunan kerajaan Persekutuan serta agensi, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan telah dilabel setakat September 2023.

“Kini, bangunan-bangunan komersial milik swasta turut diberikan penarafan BEI,” jelasnya.