Ringgit lemah disifatkan gejala jangka pendek

Fenomena mata wang ringgit yang semakin lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disifatkan sebagai gejala jangka pendek kerana asas fundamental ekonomi Malaysia adalah kukuh.. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Barjoyai Bardai)
Fenomena mata wang ringgit yang semakin lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disifatkan sebagai gejala jangka pendek kerana asas fundamental ekonomi Malaysia adalah kukuh.. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Barjoyai Bardai)
A
A
A

SHAH ALAM - Fenomena mata wang ringgit yang semakin lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disifatkan sebagai gejala jangka pendek kerana asas fundamental ekonomi Malaysia adalah kukuh.

Ahli Ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, ia berikutan dolar AS dilihat semakin lemah dari segi pengaruhnya di seluruh dunia dengan kewujudan mata wang Brazil, Russia, India, China, Afrika Selatan (BRICS).

Ujarnya, ia sekali gus memberi kesan positif kepada negara-negara Timur termasuk Malaysia.

“Jadi dalam jangka pertengahan atau panjang, kita akan melihat dolar AS akan melemah.

Kalau ini berterusan, kemungkinan besar mata wang ringgit akan meningkat.

“Malaysia sebenarnya diramal akan menjadi sebuah hub yang penting di Asia untuk membolehkan peniaga-peniaga antarbangsa dari barat khususnya datang berpindah ke rantau Asia,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Ringgit dibuka rendah, permintaan dolar AS mengukuh

Sementara itu, ulas beliau, kemerosotan mata wang ringgit tidak sepatutnya menjadi satu kerisauan kerana ia tidak secara khusus melambangkan kelemahan ekonomi dalaman Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan sebaliknya hanya perlu mengawal inflasi yang datang dari aspek pengimportan barang dan perkhidmatan.

“Kita sebenarnya mendapat faedah besar disebabkan penurunan mata wang kita dalam bentuk nilai eksport yang bertambah bila hasil eksport dalam dolar AS ditukar kepada ringgit Malaysia.

“Cuma kita perlu mengawal pula import kerana ia menyebabkan import lebih mahal dan ini melemahkan ringgit Malaysia.

“Kalau kita boleh segera melaksanakan Program Keselamatan Makanan (ProKEM), dalam masa kurang dari enam bulan kita dah mendapat hasil, menjimatkan RM77 billion import dan kita akan melihat bahawa ekonomi Malaysia akan menjadi sangat memberangsangkan,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, konflik perang Israel-Palestin dijangka memberi pengaruh negatif terhadap mata wang dunia barat termasuk dolar AS dan berkemungkinan mengakibatkan berlakunya perpindahan kuasa ekonomi kepada timur termasuk Malaysia.

Tambahnya, situasi itu dijangka berlaku sekiranya Israel bertindak luar kawalan hingga menyebabkan negara-negara jiran seperti Iran, Turkiye dan Rusia bersedia untuk menyerang Israel.

“Jadi kalau mereka (negara-negara itu) menyerang, mungkin AS terpaksa menyokong (Israel) dan ini akan menjadi perang dunia.

“Kalau itu berlaku, ia sebenarnya akan melemahkan lagi mata wang dunia khususnya negara barat.

"Jadi kita akan melihat perpindahan kuasa ekonomi kepada Timur dan ini termasuk China serta Rusia,” ulas beliau.

Pada minggu lalu, ringgit Malaysia merosot kepada 4.7340/7380 berbanding dolar AS.

Pada Isnin, ringgit menyusut apabila merekodkan 4.7900/7975 berbanding dolar AS daripada 4.7655/7700 sewaktu ditutup pada Jumaat.