Termenung tukar duit ringgit dengan dolar Singapura

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEJAK sekian lama, akhirnya beberapa hari lalu Merak Jalanan berkesempatan ke luar negara atas urusan kerja. Tapi tidaklah jauh sangat, cuma negara jiran, Singapura.

Satu perkara yang berserabut di fikiran Merak Jalanan sebelum melangkah kaki ke negara kepulauan tersebut ialah perbezaan nilai mata wang mereka dengan negara kita.

Merak Jalanan termenung selepas menukarkan duit ringgit kepada dolar Singapura sebelum bertolak ke negara tersebut.

Merak Jalanan perlu mengeluarkan RM104 hanya untuk mendapatkan SG$30. Memang terasa jauh rendah nilai mata wang kita.

Setiba di Lapangan Terbang Changi di Singapura, Merak Jalanan mengatur sebaiknya perbelanjaan makan minum dan menyewa perkhidmatan e-hailing sepanjang berada di negara berkenaan supaya tidak terlebih bajet.

Merak Jalanan perlu mencari kedai makan ‘marhaen’ dan tidak boleh sesuka hati nak membeli-belah.

Bayangkan, sepinggan nasi goreng kampung paling murah pun sudah berharga SG$5 bersamaan RM17.30. Itu belum masuk minuman.

Walaupun Singapura taklah besar mana pun, Merak Jalanan perlu membayar sehingga lebih RM100 untuk sewa perkhidmatan e-hailing.

Artikel Berkaitan:

Bagi sesetengah orang, mungkin ia perkara biasa, Tapi bagi Merak Jalanan yang gaji cukup-cukup untuk menyara diri dan keluarga, memang amat terasa.

Justeru, Merak Jalanan seperti rakyat Malaysia lain amat menantikan ringgit kembali kukuh dan tidak terus ketinggalan berbanding negara lain.

Malah, setiap hari rakyat Malaysia tertunggu-tunggu untuk melihat nilai mata wang negara kembali naik semula.

Selama tiga hari di Singapura, barulah Merak Jalanan faham mengapa kawan-kawan lebih suka melancong ke Thailand.

Walaupun nilai ringgit jatuh, tapi kata mereka, harga makan minum, sewa penginapan dan pengangkutan di negara berkenaan masih lagi murah.