KL, Terengganu dan Pahang tolak Zeon Zoysia

Seorang lelaki berjalan di padang yang baru ditukar kepada jenis rumput Zeon Zoysia pada Perasmian Padang Stadium Nasional baru-baru ini. - Foto Bernama
Seorang lelaki berjalan di padang yang baru ditukar kepada jenis rumput Zeon Zoysia pada Perasmian Padang Stadium Nasional baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA Lumpur, Terengganu dan Pahang telah menolak tawaran Kementerian Belia dan Sukan untuk menanam rumput Zeon Zoysia di stadium negeri masing-masing.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, setakat ini hanya Sarawak yang bersetuju untuk menanam rumput itu manakala negeri lain pula masih memerlukan masa untuk mengkaji tawaran tersebut.

“Kementerian Belia dan Sukan telah mencadangkan supaya semua stadium negeri mempertimbangkan tawaran penggunaan rumput Zeon Zoysia atau yang setaraf dengannya. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada kerajaan negeri kerana mereka perlu mengkaji kos dan penyelenggaraan jangka panjang.

“Sehingga kini, hanya Sarawak yang menyatakan persetujuaan untuk gunakan rumput tersebut. Negeri yang tidak bersetuju adalah Terengganu, wilayah Persekutuan dan Pahang yang mahu menggunakan rumput sedia ada," katanya ketika menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Untuk rekod, dua stadium sahaja di negara ini menggunakan rumput Zeon Zoysia iaitu Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor dan Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Dalam pada itu, Hannah menjelaskan tawaran yang diberikan kepada setiap negeri itu hanya tertakluk kepada satu stadium sahaja selain naik taraf sebelum pemasangan rumput perlu diuruskan oleh kerajaan negeri.

“Tawaran ini hanya untuk rumput, tetapi naik taraf stadium itu kerajaan negeri kena usahakan kerana setiap stadium yang dipilih mereka mempunyai status yang berbeza.

“Contohnya, untuk stadium di negeri A mungkin kena naik taraf sistem saliran, untuk negeri B mungkin kena naik taraf tanah. Sebab itu tawaran yang kita berikan adalah untuk kos rumput sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Mereka (negeri) tidak kata tidak berminat, kebanyakan mereka nak tunggu dahulu untuk kaji kos penyelenggaraan setiap bulan sama ada kerajaan negeri mampu atau tidak untuk teruskan projek tersebut," katanya.