Tingkat kualiti padang bola sepak seluruh negara - TMJ

Tunku Ismail (tengah) bersama Hannah (dua kanan) selepas merasmikan padang baharu Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis. Foto ihsan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi
Tunku Ismail (tengah) bersama Hannah (dua kanan) selepas merasmikan padang baharu Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis. Foto ihsan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi
A
A
A

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa semua stadium bola sepak di negara ini untuk meletakkan kepentingan kualiti padang pada tahap tinggi bagi meningkatkan taraf sukan tersebut di seluruh negara.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi di sini pada Khamis, Tunku Ismail sentiasa menekankan keperluan padang dan kemudahan bola sepak yang berkualiti untuk memartabatkan bola sepak Malaysia.

"Itu adalah antara asas kebangkitan JDT untuk menjadi kelab bola sepak terkemuka di Asia Tenggara," jelas kenyataan tersebut.

Terdahulu Tunku Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) merasmikan padang baharu Zeon Zoysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Kenyataan berkenaan memaklumkan, Tunku Mahkota Johor itu menaja padang bola sepak di stadium nasional tersebut sebagai hadiah untuk bola sepak negara.

"Ini selepas saban tahun pengendali stadium menghadapi masalah berkaitan kualiti rumput.

"Sebelum penajaan tersebut, Tunku Ismail telah meminjamkan sebuah kanvas dari Stadium Larkin kepada Stadium Nasional untuk menjaga dan melindungi padang Bukit Jalil daripada hujan lebat menjelang perlawanan penting Harimau Malaya dan perlawanan-perlawanan akhir kejohanan Piala.

Artikel Berkaitan:

"Tunku Mahkota Johor juga berkenan agar pasukan kebangsaan menggunakan Stadium Sultan Ibrahim dan Pusat Latihan JDT yang merupakan fasiliti bola sepak terbaik di rantau ini," jelas kenyataan itu lagi.

Tambah kenyataan itu, rumput Zeon Zoysia turut digunakan di Stadium Sultan Ibrahim dekat sini yang diiktiraf sebagai padang terbaik di negara ini sejak stadium ikonik tersebut dibuka pada 2020.

"Tunku Mahkota Johor sebelum ini telah meninjau keadaan padang terdahulu di Bukit Jalil pada 2022 dan menghadiri majlis pecah tanah padang zeon zoysia baharu pada Mac 2023," kata kenyataan tersebut.

Padang baharu berkenaan akan digunakan buat kali pertama apabila Malaysia menentang India dalam pertandingan Pesta Bola Merdeka 2023 pada Jumaat.