PSM komited sedia padang bertaraf dunia untuk Harimau Malaya - Hannah

Sebuah tapak semaian rumput Zeon Zoysia turut terletak berhampiran Stadium Nasional. - Foto Facebook Hannah Yeoh
Sebuah tapak semaian rumput Zeon Zoysia turut terletak berhampiran Stadium Nasional. - Foto Facebook Hannah Yeoh
A
A
A

PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) komited untuk menyediakan stadium dengan padang bola sepak bertaraf dunia bagi kegunaan skuad Harimau Malaya.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, percaya Stadium Nasional Bukit Jalil di bawah pemantauan kontraktor yang mempunyai kemahiran berkaitan rumput jenis Zeon Zoysia akan membuahkan hasil padang yang sempurna untuk pembangunan bola sepak di negara.

Katanya, sebuah tapak semaian rumput Zeon Zoysia turut terletak berhampiran Stadium Nasional.

Selain kontraktor yang mengendalikan penanaman dan penyelenggaraan rumput di gelanggang keramat Harimau Malaya itu merupakan kontraktor Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor Bahru, milik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), katanya.

"Sebarang pembaikan rumput di padang Stadium Nasional tidak melibatkan kos tambahan kerana adanya tapak semaian yang telah disediakan sebagai sebahagian daripada perancangan penyelenggaraan padang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, usaha dalam mengimbangi keperluan pasukan Harimau Malaya dengan pemeliharaan dan pertumbuhan rumput Zeon Zoysia merupakan tugas yang tidak boleh diambil mudah.

Jumaat lalu, kualiti padang Stadium Nasional Bukit Jalil dipersoal banyak pihak susulan beberapa kawasan yang ‘terkopak’ sewaktu perlawanan pembukaan Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia dan India.

Bagaimanapun, PSM pantas memberi jaminan masalah itu akan dapat diatasi dan beberapa tompokan di padang bakal pulih sepenuhnya menjelang aksi Harimau Malaya pada pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 yang dijadual bermula bulan depan. - Bernama

Artikel Berkaitan: