Marquez hantar amaran kepada pesaing di SIC

JUARA dunia MotoGP, Marc Marquez, menghantar amaran jelas kepada para pesaingnya musim ini selepas mencatatkan masa terpantas pada hari pertama ujian musim sejuk pramusim MotoGP Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Selasa.
Penunggang Ducati Lenovo Team itu, yang kembali beraksi selepas berehat panjang akibat kecederaan tulang selangka ketika MotoGP Indonesia 2025 pada Oktober tahun lalu, mencatatkan masa 1 minit 57.018 saat (s) pada pusingan ke-18 daripada 23 pusingan dalam sesi petang.
Sebelum itu, pelumba Sepanyol berusia 32 tahun tersebut menunjukkan perkembangan konsisten sepanjang hari selepas menamatkan sesi pagi di tempat ke-11 dengan catatan masa 1 minit 58.774 saat.
Tempat kedua terpantas dicatatkan oleh Fabio Di Giannantonio dari pasukan Pertamina Enduro VR46 Racing Team yang merekodkan masa peribadi terbaik 1 minit 57.274 saat pada pusingan ke-20.
Sementara itu, wakil Red Bull KTM Tech3, Maverick Vinales, muncul sebagai pelumba ketiga terpantas dengan catatan masa 1 minit 57.295 saat pada pusingan kedua terakhirnya.
Selepas ujian berkenaan, Marquez meluahkan rasa puas hati terhadap keadaan fizikalnya dan menyifatkan prestasinya di SIC sebagai peningkat keyakinan selepas berehat panjang.
“Ada tiga bulan lagi sebelum Buriram (GP Thailand), dan saya berasa baik. Saya berasa selesa untuk larian pendek. Saya cuba menjaga keadaan fizikal kerana saya tahu apabila saya berada dalam keadaan baik, saya mampu melakukan kelajuan.
“Jika saya tidak berada dalam keadaan baik, kelajuan tidak akan ada. Ujian ini adalah latihan terbaik untuk Buriram dan selepas ini saya akan menganalisis kelemahan serta berlatih untuk memperbaikinya dalam beberapa minggu akan datang,” katanya kepada wartawan. – Bernama
INFO
10 PELUMBA TERPANTAS HARI PERTAMA
1. Marc Marquez (Sepanyol Ducati Lenovo - 1:57.018s
2. Fabio Di Giannantonio (Itali) Pertamina Enduro VR46 Racing Team - 1:57.274s
3. Maverick Vinales (Sepanyol) Red Bull KTM Tech3 - 1:57.295s
4. Marco Bezzecchi (Itali) Aprilia Racing - 1:57.524s
5. Luca Marini (Itali) Honda HRC Castrol - 1:57.569s
6. Joan Mir (Sepanyol) Honda HRC Castrol - 1:57.693s
7. Francesco Bagnaia (Itali Ducati Lenovo - 1:57.720s
8. Fabio Quartararo (Perancis) Monster Energy Yamaha - 1:57.869s
9. Franco Morbidelli (Itali) Pertamina Enduro VR46 - 1:58.068s
10. Johann Zarco (Perancis) Castrol Honda LCR - 1:58.140s
Ringkasan AI
- Marc Marquez mencatatkan masa terpantas pada hari pertama ujian musim sejuk pramusim MotoGP Malaysia 2026
- Pelumba tersebut kembali beraksi selepas berehat akibat kecederaan
- Fabio Di Giannantonio dan Maverick Vinales mencatatkan tempat kedua dan ketiga terpantas
- Marquez merasa puas hati dengan keadaan fizikal dan prestasinya di SIC
- Pelumba itu merancang untuk menganalisis kelemahan dan berlatih sebelum GP Thailand
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
