Bekalan ayam belanda cukup untuk Krismas

Summugam (kiri) dan Mohamad Fitri (kanan) melihat ubi kentang yang dijual di TF Value-Mart pada Majlis Perasmian SHMMP 2019 Peringkat Kedah di TF Value-Mart di Jalan Batas Paip di sini hari ini.
Summugam (kiri) dan Mohamad Fitri (kanan) melihat ubi kentang yang dijual di TF Value-Mart pada Majlis Perasmian SHMMP 2019 Peringkat Kedah di TF Value-Mart di Jalan Batas Paip di sini hari ini.
A
A
A

KUALA KEDAH - Bekalan ayam belanda di Kedah yang menjadi hidangan utama penganut agama Kristian ketika meraikan Hari Natal mencukupi untuk menampung keperluan pengguna ketika musim perayaan tahun ini.

Exco Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, R Summugam berkata, pihaknya tidak menerima aduan kekurangan bekalan ayam belanda setakat ini.

Menurutnya, tiada barang keperluan termasuklah ayam belanda yang dikesan mengalami kekurangan bekalan sepanjang perlaksanaan skim bermula kelmarin itu.

"Jadi, rakyat Kedah tidak perlu bimbang mengenai bekalan dan kita yakin ia mencukupi demi menampung permintaan mereka," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas (SHMMP) 2019 Peringkat Kedah di TF Value-Mart di Jalan Batas Paip di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah,Mohammad Fitri Hassan.

Summugam berkata, harga bekalan ayam belanda untuk musim perayaan juga didapati terkawal dan pihaknya juga akan memastikan bekalan barangan mencukupi untuk pengguna pada perayaan Krismas ini.

Katanya, berdasarkan penentuan harga maksimum barangan harga terkawal, harga ayam belanda pada harga runcit ialah RM28 untuk satu kilogram (kg), manakala RM25 untuk satu kg bagi harga borong.

Dalam perkembangan sama, katanya, skim di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 selama 10 hari bermula 22 hingga 31 Disember itu dilaksana bagi menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan Krismas.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, antara barangan terbabit ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam belanda import, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing dan biri-biri import bertulang, telur ayam gred A hingga C, lada benggala hijau, tomato,kubis bulat import,cili merah dan ubi kentang import.

"Dalam pemeriksaan mengejut dilakukan bersama sepasukan anggota KPDNHEP Kedah tadi, pasar raya terbabit didapati mematuhi segala peraturan ditetapkan termasuklah meletakkan tanda harga merah jambu pada harga terkawal malah ada barangan terkawal dijual lebih murah dari harga ditetapkan," katanya.

Summugam berkata, pihaknya akan mengenakan tindakan kepada mana-mana peniaga terbabit sekiranya didapati sengaja menaikkan harga tanpa alasan munasabah dengan niat mengaut keuntungan berlebihan.

Katanya, peniaga yang didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan di bawah skim seperti gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi harga terkawal juga boleh dikenakan tindakan tegas.

"Pengguna boleh mengemukakan aduan melalui beberapa platform disediakan seperti portal, emel, aplikasi telefon pintas Ez ADU, WhatsApp ataupun lapor di pejabat KPDNHEP jika ada peniaga didapati tidak mematuhi undang-undang di bawah skim tersebut," katanya.