[VIDEO] Pesta kepah di Kuala Kedah

Sekumpulan penduduk tidak melepaskan peluang mencari kepah yang muncul di darat di pantai berdekatan Kota Marina, Kuala Kedah. Gambar kecil dari kiri: Md Radhi, Rohaya
Sekumpulan penduduk tidak melepaskan peluang mencari kepah yang muncul di darat di pantai berdekatan Kota Marina, Kuala Kedah. Gambar kecil dari kiri: Md Radhi, Rohaya
A
A
A

KUALA KEDAH - Fenomena ribuan kepah naik ke darat di pantai berdekatan Kota Marina, di sini, menyebabkan orang ramai berpusu-pusu mengutip hidupan laut itu untuk dibawa pulang sejak seminggu lepas.

Fenomena yang sudah lama tidak berlaku itu menyebabkan penduduk sanggup berpanas selama berjam-jam di tepi pantai untuk mengutip hidupan laut itu untuk dijadikan sajian keluarga masing-masing.

Surirumah, Rohaya Azizan, 50, dari Kampung Tanjung Besar berkata, dia turun ke tepi pantai hampir setiap pagi sejak tiga hari lepas bagi mencari kepah untuk dijadikan hidangan keluarganya.

Rohaya berkata, dia enggan melepaskan peluang mencari kepah memandangkan fenomena itu jarang-jarang sekali berlaku.

"Saya datang mencari kepah di kawasan ini bermula jam 9 pagi dan akan balik ke rumah dalam jam 12 tengah hari.

"Dalam tempoh itu, saya mampu mengutip kepah antara tujuh hingga lapan kilogram (kg) ikut keadaan air," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.

Katanya, mereka mampu mengutip lebih banyak kepah apabila air laut surut terutamanya pada sebelah petang.

"Pada sebelah pagi, dianggarkan lebih 20 penduduk sahaja mencari kepah, namun angka itu berlipat ganda hingga mampu mencecah lebih 80 orang pada sebelah petang. Memang penuh orang," katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Telok Talipon, Md Radhi Teh, 69, berkata, dia juga tidak melepaskan peluang mencari kepah yang jarang naik ke darat itu.

"Saya anggap ini rezeki kami. Jadi, saya kutip kepah untuk dimakan. Bagaimanapun, agak mencabar disebabkan air pasang pada waktu tertentu," katanya yang kejadian itu pernah berlaku kira-kira lima tahun lalu.

Seorang lagi surirumah, Nor Satinah Abd Manaf, 28, berkata, dia mengetahui tentang kemunculan kepah itu daripada rakannya yang berniaga berhampiran pantai terbabit.

Nor Satinah Abd Manaf menunjukkan kepah berjaya dikutip di di pantai berdekatan Kota Marina, Kuala Kedah.
Nor Satinah Abd Manaf menunjukkan kepah berjaya dikutip di di pantai berdekatan Kota Marina, Kuala Kedah.

Katanya, dia tergerak hati untuk melihat sendiri kejadian itu dan mendapati ramai penduduk setempat datang mencari kepah.

"Sejak itu, saya bersama beberapa ahli keluarga akan datang ke tepi pantai ini untuk mengutip kepah seawal jam 8 pagi hingga jam 12 tengah hari. Kami datang beramai-ramai," katanya.

Dia yang tinggal di Kampung Tengah memberitahu, selain menggunakan tangan, ada pencari menggunakan peralatan seperti bingkai kipas.

"Jikalau tiada bingkai kipas, air bawa kepah. Ia naik ikut air laut. Jadi, kita kutip sahaja. Kalau kita jumpa kepah yang tertutup, maka ia kepah yang elok," katanya.

Dua remaja turut mencari kepah di pantai berdekatan Kota Marina, Kuala Kedah.
Dua remaja turut mencari kepah di pantai berdekatan Kota Marina, Kuala Kedah.