Hidup berubah lepas sertai Program MEKAR-Yayasan PETRONAS

Buka peluang rezeki, bangga jadi usahawan berjaya

A
A
A

Nurul Amira (tengah) turut sama membantu kerja-kerja penyediaan tanaman cendawan di premisnya di Kampung Seri Mendapat, Batu Pahat, Johor.
Nurul Amira (tengah) turut sama membantu kerja-kerja penyediaan tanaman cendawan di premisnya di Kampung Seri Mendapat, Batu Pahat, Johor.

BATU PAHAT - Biarpun tidak memiliki pengetahuan asas dalam selok-belok bidang pertanian khususnya tanaman cendawan, Nurul Amira Yahya, 32, kini boleh berbangga dengan pencapaiannya sebagai antara usahawan cendawan berjaya.

Anak bongsu daripada sembilan beradik ini berkata, dia tidak menyangka keputusannya untuk berhenti kerja di Singapura dan kembali ke tempat kelahirannya di Kampung Seri Mendapat, Parit Raja, di sini pada 2021 sebenarnya membuka peluang rezeki yang lebih luas kepadanya.

Malah, dia bersama kakaknya, Ilarniawati, 36, serta ibu, kakak ipar dan anak saudara kini semuanya terlibat dalam perniagaan cendawan yang diusahakannya itu.

“Saya sudah bekerja di Singapura selama 12 tahun dengan kakak saya. Masa Covid-19 dulu, kami tak boleh balik kampung.

“Bila dah balik, kami ambil keputusan untuk berhenti kerja dan mula sertai Program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) oleh Yayasan PETRONAS selepas mendapat maklumat melalui media sosial,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.

Semangat untuk berjaya

Artikel Berkaitan:

Tambah Nurul Amira, dia pada mulanya agak bimbang untuk menyertai program berkenaan. Bagaimanapun, setelah menghadiri kelas-kelas bimbingan daripada fasilitator berpengalaman, dia berjaya mengekalkan semangat untuk merealisasikan hasratnya itu.

“Memanglah mula-mula tu takut juga, tapi bila fikirkan dah berhenti kerja, saya dan keluarga pasti akan bergelut dengan masalah kewangan disebabkan tiada sumber pendapatan yang tetap.

“Alhamdulillah, saya dan kakak akhirnya berjaya memanfaatkan segala ilmu yang diberikan oleh para pembimbing dalam Program MEKAR ini. Akhirnya saya mampu menguruskan sendiri tanaman cendawan ini,” jelasnya yang turut membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mempelbagaikan produk seperti kerepek cendawan dan lain-lain lagi.

Nurul Amira bersama Ilarniawati (kanan) memeriksa kualiti cendawan telinga kera yang diusahakannya.
Nurul Amira bersama Ilarniawati (kanan) memeriksa kualiti cendawan telinga kera yang diusahakannya.

Menceritakan lanjut sebelum menyertai Program MEKAR, Nurul Amira mengakui mengalami sedikit kesulitan menjalankan tanaman cendawan disebabkan taraf infrastruktur yang rendah seperti pondok atap nipah, sumber air dan sebagainya.

“Bagaimanapun, saya berjaya menaik taraf kemudahan infrastruktur penanaman yang sesuai lengkap dengan sistem kawalan suhu dan kelembapan,“ katanya yang menanam pelbagai jenis cendawan seperti cendawan tiram, cendawan telinga kera dan lain-lain.

Seorang lagi peserta Program MEKAR, Mohd Salehudin Ab Rashid, 37, menyifatkan dia kini mampu mengembangkan penternakan itik dan pembuatan telur itik asin di Kampung Parit Pulai, di sini dengan lebih tersusun.

Mohd Salehudin menyusun telur itik ke dalam bekas untuk dipasarkan kepada pelanggan.
Mohd Salehudin menyusun telur itik ke dalam bekas untuk dipasarkan kepada pelanggan.

Perubahan positif itu katanya adalah hasil daripada pendedahan serta tunjuk ajar yang diberikan para pembimbing sehingga dia mampu menjana pendapatan yang memberangsangkan berbanding sebelum ini.

“Saya sebelum ini bekerja sebagai penyelia tapak. Saya ambil alih perniagaan ternakan ini daripada kawan. Mula-mula berniaga, saya ambil mudah dan merasa selesa dengan apa yang ada.

“Selepas menyertai Program MEKAR oleh Yayasan PETRONAS, saya mula mengetahui dan memahami apa itu pendedahan modal, pengurusan perniagaan, pemasaran produk dan sebagainya,” katanya yang turut mengakui program tersebut banyak membawa perubahan kepada kehidupannya ketika ini.

Tambah Mohd Salehudin, pengetahuannya mengenai selok-belok perniagaan itu dikongsikan bersama ibu, isteri dan adiknya yang bersama-sama menguruskan ternakan itik serta pembuatan telur itik asin berkenaan.

Produk telur itik asin yang diusahakan Mohd Salehudin dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan termasuk di Lembah Klang.
Produk telur itik asin yang diusahakan Mohd Salehudin dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan termasuk di Lembah Klang.

Katanya, sebelum menyertai Program MEKAR, dia menternak sekitar 200 ekor itik dengan jumlah pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan melalui penjualan telur itik segar dan telur itik Asin.

Bagaimanapun, insiden banjir yang melanda kawasan Batu Pahat pada awal tahun ini menyebabkan dia mengalami kerugian, namun berjaya bangkit semula hasil daripada penyertaan dalam program tersebut.

Kini, dia berjaya menguruskan 400 ekor ternakan itik dengan jualannya mencecah RM10,000 sebulan.

Perkembangan perniagaan

Pada masa sama, Salehudin turut merancang menambah bilangan pekerja pada masa depan apabila perniagaannya itu semakin berkembang selain mempelbagaikan produk baharu seperti kuning telur masin (salted egg yolk) dan lain-lain lagi.

Selain itu,dia juga mampu mengekalkan harga telur itik asin pada kadar harga yang berpatutan kepada para pelanggannya.

Kemampuannya untuk mengekalkan harga tersebut adalah hasil daripada latihan kewangan dan bimbingan yang diperoleh dalam perkiraan kos bahan mentah seperti garam untuk menghasilkan produk itu.

“Tidak perlu saya naikkan harga ketika kenaikan harga barang pada masa ini. Jadi apa yang saya lakukan ini sesuai dengan misi Program MEKAR untuk meningkatkan pembangunan dan kesejahteraan komuniti dalam sosioekonomi,” ujarnya yang kini berjaya mengembangkan pasarannya di sekitar Lembah Klang.

Program MEKAR komited bantu memajukan sosioekonomi B40

Program MEKAR anjuran Yayasan PETRONAS melalui pelbagai rakan pelaksana seperti Yayasan Sejahtera akan terus memainkan peranan membantu meningkatkan taraf sosioekonomi golongan komuniti B40 terutamanya mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

Komitmen itu ditegaskan Pegawai Program Yayasan Sejahtera, Megat Muhammad Syamil Megat Mohd Sharif yang mana bantuan tersebut diberikan dalam bentuk latihan serta bimbingan bagi membolehkan golongan itu bangkit membina semula kehidupan mereka melalui Program MEKAR.

“Program ini sudah mula dilancarkan pada Disember 2022 lalu dan kami (Yayasan Sejahtera) telah membuka penyertaan secara dalam talian (google form) untuk diisi oleh orang ramai yang berminat.

“Ada juga individu yang datang secara terus ke pejabat kami di Jalan Sulaiman, di sini bagi menyertai Program MEKAR ini,” katanya kepada Sinar Harian.

MEGAT MUHAMMAD SYAMIL
MEGAT MUHAMMAD SYAMIL

Menurut beliau, bagi mereka yang membuat permohonan menyertai program itu, proses saringan akan dilakukan sebelum mendapat kelulusan daripada pihak Yayasan PETRONAS.

Kemudiannya para peserta yang layak, mereka akan memulakan sesi latihan dan bimbingan daripada Yayasan Sejahtera.

Setakat ini, seramai 300 peserta dari sekitar Batu Pahat telah menyertai program MEKAR yang dimulakan sejak Disember tahun lalu.

“Latihan-latihan berkenaan dikendalikan dalam dua fasa dan hanya 120 daripada 300 peserta akan dipilih bagi mengikuti latihan lanjutan yang akan dilaksanakan pada tahun 2024,” jelas beliau.

Tambah Megat Muhammad Syamil, pada fasa pertama latihan, kesemua peserta diberikan latihan seperti mengenali perniagaan anda, teknik pemasaran selain celik kewangan.

Bagi fasa kedua katanya, kesemua peserta akan diberikan latihan bagaimana untuk berfikiran secara kreatif dan kritis dalam membina dan mengembangkan perniagaan masing-masing di luar daerah Batu Pahat.

Yayasan PETRONAS melalui Program MEKAR berhasrat supaya kehidupan rakyat sejahtera dan sihat, selain mempromosi pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan inklusif serta lestari untuk rakyat Malaysia.