Lebih 60,000 belia disasar sertai Program Sekolah Rukun Negara

Adam Adli (kanan) ketika sesi Dialog Demokrasi sempena Majlis Pelancaran Program Sekolah Rukun Negara di UKM Bangi hari ini. - Foto Bernama
Adam Adli (kanan) ketika sesi Dialog Demokrasi sempena Majlis Pelancaran Program Sekolah Rukun Negara di UKM Bangi hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 60,000 belia disasarkan menyertai Program Sekolah Rukun Negara, sebuah program mendedahkan belia dengan kefahaman dan pengetahuan demokrasi sehingga hujung tahun ini, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

Beliau berkata, program tersebut boleh disertai belia berusia antara 15 dan 30 tahun dan terutamanya lepasan sekolah berusia 18 tahun berikutan pindaan had umur mengundi pada 2019.

Katanya, program tersebut dilaksanakan secara tiga fasa iaitu kursus asas, kursus pertengahan dan kursus lanjutan dan ia dijalankan selama setengah hari dan boleh dianjurkan di sekolah, universiti dan pusat belia.

"Sekolah Rukun Negara ialah program nasional untuk menjawab persoalan perihal literasi politik dalam kalangan belia. Dalam program ini, kita bukan hanya bagi kuliah tetapi kita galakkan peserta untuk jadikan platform ini sebagai ruang ekspresi.

"Matlamatnya, memastikan kita memberi pendidikan politik dan demokrasi sesuai dengan keperluan sekarang. Tidak adil kita mengikat golongan pengundi muda dengan tanggungjawab tanpa memberi ruang untuk mereka berbincang politik secara sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Program Sekolah Rukun Negara di Dewan Panggung Seni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, dekat sini, hari ini.

Katanya, kursus pertengahan dan lanjutan pula masing-masing akan dilaksanakan selama tiga hari dua malam atau empat hari tiga malam di Kem Wawasan Negara kendalian Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD).

Beliau berkata, antara modul yang akan digunakan dalam program tersebut ialah Perlembagaan Persekutuan, Parlimen, proses pengundian, prinsip Rukun Negara, pilihan raya dan kerajaan tempatan.

"Pembangunan modul-modul di bawah Program Sekolah Rukun Negara melibatkan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik di Malaysia," katanya.

Adam Adli berkata, seramai 16,759 belia telah menyertai program itu secara bersemuka sejak ia dilaksanakan 6 Mei lalu.

Beliau berkata, pihaknya juga menyasarkan sembilan juta penonton akan mengikuti perkongsian program berkenaan menerusi platform media sosial Kementerian Belia dan Sukan (KBS) seperti di TikTok, Facebook dan Youtube, yang mana setakat ini sebanyak 2.1 juta pengguna telah direkodkan.

Program Sekolah Rukun Negara adalah merupakan inisiatif i-LEAD, agensi di bawah KBS, untuk meningkatkan keutuhan dalam aspek kenegaraan dan perpaduan berteraskan penghayatan kepada prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan bagi meningkatkan pengetahuan dan kefahaman golongan belia mengenai sistem demokrasi di Malaysia.

Antara objektif pelaksanaan program tersebut adalah meningkatkan kesedaran dan kefahaman golongan belia tentang sistem Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan; dan memantapkan semangat patriotik, jati diri dan kesepaduan nasional untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab.

Objektif program termasuklah juga untuk menyebar luas konsep Malaysia Madani berteraskan pemahaman terhadap prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan. - Bernama