PDRM, MOT bincang wujudkan stesen komuter di Bukit Aman

Abdul Hamid (tengah) menyaksikan upacara penyerahan jawatan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi daripada Datuk Seri Tajudin Md Isa (kiri) kepada Datuk Seri Rosli Ab Rahman (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
Abdul Hamid (tengah) menyaksikan upacara penyerahan jawatan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi daripada Datuk Seri Tajudin Md Isa (kiri) kepada Datuk Seri Rosli Ab Rahman (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap stesen Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) dapat diwujudkan berhampiran pintu masuk menara dua Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Pengangkutan dalam usaha mewujudkan stesen KTM berkenaan bagi memudahkan warga Bukit Aman yang tinggal di luar Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam itu.

Menurutnya, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan stesen komuter itu.

“Sekiranya projek ini berjaya dimuktamadkan, ia akan memberi keselesaan kepada warga Bukit Aman khususnya mereka yang tinggal di luar Kuala Lumpur dapat menggunakan pengangkutan awam datang ke pejabat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis serah tugas jawatan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di sini hari ini.

Pada majlis tersebut menyaksikan Datuk Seri Rosli Ab Rahman menerima tugas daripada Datuk Seri Tajudin Md Isa sebagai Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman.

Abdul Hamid berkata, pihaknya melalui Jabatan Logistik dan Teknologi turut berharap beberapa projek yang wajar diluluskan oleh kerajaan kepada PDRM dapat disegerakan.

“Bukit Aman juga tidak mempunyai dewan, dataran untuk aktiviti kawad serta parkir yang mencukupi untuk kakitangan PDRM,” katanya.

Artikel Berkaitan: