3R: 104 kertas siasatan dibuka libatkan pemimpin kerajaan, pembangkang

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 104 kertas siasatan sudah dibuka Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini berhubung isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kertas siasatan yang dibuka itu membabitkan pemimpin pembangkang dan kerajaan.

"Sejumlah 104 kertas siasatan dibuka, di sebelah sana (pembangkang) ada di sebelah sini (kerajaan) pun ada. Kita siasat semua.

"Saya boleh berikan lagi bahan untuk memaklumkan di sini," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang meminta agar Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menarik semula kenyataan yang menasihat dan meminta mana-mana pihak untuk tidak bercakap dan berhujah berkenaan isu 3R.

Saifuddin Nasution menegaskan, kenyataan dan nasihat Razarudin sebelum ini bahawa tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyentuh isu 3R adalah satu kenyataan yang jelas.

Katanya, polis akan terus mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak tanpa mengira parti politik, yang didapati mengeluarkan kenyataan boleh menjejas dan menggugat ketenteraman awam serta membangkitkan kebencian dalam masyarakat.

"Bila disebut (oleh pembangkang) Pakatan Harapan (PH) menolak Islam, menyokong komunis, puak yang khianat dan puak yang menolak raja. Bila masa pula kita (PH) tolak raja. Ini yang diungkap dalam perutusan video ketika kuliah di Masjid Rusila pada 14 Oktober 2022.

Artikel Berkaitan:

"Jadi terpaksa aduan dibuat dan disiasat. Dalam konteks inilah Ketua Polis Negara memberikan nasihatnya. Ini konteks dan antara latar belakangnya. Saya ada berpuluh lagi (kenyataan yang disifatkan sentuh isu 3R," tambah beliau.

Sebelum ini Razarudin dilaporkan memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak menyentuh isu 3R serta menafikan PDRM bertindak sedemikian kerana mendapat arahan kerajaan.

Kata Saifuddin Nasution, siasatan isu 3R berkenaan tertakluk kepada panduan undang-undang sedia ada iaitu di bawah Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan Perlembagaan Persekutuan.