Polis lengkapkan kertas siasatan kes premis kibar bendera Israel

Mazli berkata, pihaknya kini dalam proses menyerahkan kertas siasatan kes kibar bendera Israel kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN).
Mazli berkata, pihaknya kini dalam proses menyerahkan kertas siasatan kes kibar bendera Israel kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN).
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis telah menyiapkan kertas siasatan berhubung tindakan seorang lelaki mengibarkan bendera Israel di sebuah premis di negeri ini yang dikesan pada Khamis lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya kini dalam proses menyerahkan kertas siasatan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) serta menunggu arahan untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, siasatan kes itu dijalankan di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963 (penggunaan tidak wajar), Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (perbuatan dengan niat untuk mengganggu keamanan) serta Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya kerana suspek dikehendaki dalam kes dadah.

"Untuk kes bendera Israel ini kita telah menyiapkan kertas siasatan dan kita akan hantar kepada PPN untuk dapatkan arahan.

"Sebelum ini pihak polis telah mengambil keterangan daripada lelaki berusia lingkungan 30-an yang disyaki merupakan pelaku dalam kes berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di sini, petang Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengibarkan sebarang bendera yang boleh menyentuh sensitiviti semua pihak.

Pada 19 Oktober lalu, tular di media sosial dua keping gambar menunjukkan bendera negara haram Israel dikibarkan di sebuah premis di Bukit Payong, Marang.

Tindakan itu telah mengundang kecaman ramai malah kebanyakan pemilik akaun media sosial meluahkan rasa marah dan tidak setuju dengan perbuatan tersebut.

Artikel Berkaitan: