[VIDEO] Nasib Iskandar Dzulkarnain ditentukan Khamis ini - Muhyiddin

A
A
A

MUAR - Nasib Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain yang bertindak memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan akan ditentukan dalam Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Khamis ini.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, arahan telah dikeluarkan kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menetapkan mesyuarat MPT diadakan pada tarikh berkenaan.

Jelasnya, mesyuarat itu akan membincangkan tindakan disiplin terhadap Iskandar Dzulkarnain susulan kenyataannya yang melanggar peraturan dan disiplin parti.

"Itu kita akan bincang dalam mesyuarat akan datang, ketika ini kita sibuk dengan pemilihan parti. Namun perkara ini ada kaitan dengan soal disiplin parti di mana lembaga disiplin mengambil tindakan mengikut peraturan.

"Dalam perlembagaan kita, ada disebut beberapa perkara sekiranya seseorang itu melanggar atau melakukan sesuatu yang bercanggah dengan peraturan serta disiplin parti, pertama boleh diberikan amaran, kedua digantung jawatan dan ketiga dipecat," katanya.

Muhyiddin (dua dari kanan) memberikan sumbangan ketika persidangan Bersatu Bahagian Pagoh di Felda Batu 27 Lenga, Pagoh pada Sabtu.
Muhyiddin (dua dari kanan) memberikan sumbangan ketika persidangan Bersatu Bahagian Pagoh di Felda Batu 27 Lenga, Pagoh pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh di Felda Batu 27 Lenga, Pagoh di sini pada Sabtu.

Hadir sama Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Pagoh itu menambah, dalam perlembagaan parti ada menyebut beberapa perkara berkenaan tindakan perlu diambil sekiranya seseorang ahli melanggar atau bercanggah peraturan.

"Saya tidak boleh ramalkan, apa hukuman yang parti sepatutnya kenakan namun faktor 'berat' kes itu perlu dipertimbangkan. Ia terserah kepada lembaga disiplin," katanya.

Minggu lalu, Iskandar Dzulkarnain mengumumkan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Susulan kenyataan itu, Hamzah memaklumkan suatu mesyuarat akan diadakan dalam beberapa hari lagi untuk membincangkan perkara itu, sekali gus memutuskan tindakan selanjutnya ke atas Iskandar Dzulkarnain.

Sebelum ini, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang melalui satu kenyataan, mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan berbuat demikian, akan didakwa atas kesalahan rasuah.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai dakwaan mengatakan lebih ramai ahli PN akan mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Kuala Kangsar menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin menjelaskan ia hanya khabar angin.

"Selepas kenyataan dibuat daripada pihak Kuala Kangsar, saya sudah panggil kesemua ahli Parlimen Bersatu. Kita ada 31 ahli Parlimen, yang datang 30 ahli Parlimen.

"Kesemuanya berikrar kekal dan istiqamah dalam PN. Saya yakin dan percaya kesemua mereka masih kekal dengan sokongan itu," katanya.