MP Kuala Kangsar diugut, dijanji habuan, dakwa Hamzah

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Hamzah)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Hamzah)
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) mendakwa tindakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid isytihar menyokong kerajaan kerana diugut oleh seorang pegawai tertinggi sebuah agensi berkaitan kerajaan.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Iskandar Dzulkarnain dibawa bertemu pegawai terbabit di sebuah hotel di Damansara pada 1 Oktober lalu.

Ujarnya, ahli Parlimen itu diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah jika enggan menandatangani kenyataan media yang telah disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan.

“Sebelum itu, pada 26 September 2023, Ahli Parlimen Kuala Kangsar juga telah didatangi seorang taikun perniagaan yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri di sebuah lokasi sekitar Damansara.

“Beliau telah ditekan dan didesak untuk menyokong Perdana Menteri serta dijanjikan habuan dan kedudukan dalam beberapa syarikat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iskandar Dzulkarnain pada Khamis mengumumkan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak menangani kenaikan kos sara hidup di kawasannya.

Beliau bagaimanapun menegaskan tidak akan meninggalkan atau mengkhianati Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam apa jua keadaan atas prinsip taat dan setia kepada parti.

Tambah Hamzah, dalam satu pertemuan bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu juga kelihatan amat tertekan akibat intimidasi yang dikenakan terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

“PN pada masa yang sama kesal di atas kenyataan media yang dibuat secara terburu-buru oleh Ahli Parlimen Kuala Kangsar.

“Kenyataan beliau dengan menggunakan hujah peruntukan pembangunan sebagai alasan amat berbeda dengan penjelasan yang diberikan kepada beberapa pemimpin parti.

“PN mendesak kerajaan Madani menghentikan tindakan salah guna kuasa dan intimidasi terhadap semua ahli Parlimen,” tegas beliau.

Ujar Hamzah, amalan tersebut amat bertentangan dengan prinsip demokrasi yang diamalkan dalam sebuah negara yang menjunjung tinggi keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Sehubungan itu, PN mengambil maklum ketetapan Mesyuarat Biro Politik Bersatu untuk memanggil Ahli Parlimen Kuala Kangsar untuk mendapatkan penjelasan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.