Tiada pertemuan, panggilan telefon antara PM, MP Kuala Kangsar - Zahid

Ahmad Zahid (tengah) ketika sidang akhbar selepas pembentangan Belanjawan 2024 di Lobi Parlimen pada Jumaat.
Ahmad Zahid (tengah) ketika sidang akhbar selepas pembentangan Belanjawan 2024 di Lobi Parlimen pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada sebarang pertemuan atau perbincangan dibuat Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid bersama Perdana Menteri mengenai sokongannya terhadap Kerajaan Perpaduan.

Malah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu dibuat atas kerelaan dan pendirian wakil rakyat dari Perak itu sendiri.

"Kabinet telah dimaklumkan pagi tadi (Jumaat) bahawa Ahli Parlimen Kuala Kangsar (Iskandar Dzulkarnain) tidak telefon, bertemu atau mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengenai sokongan kepada Kerajaan Perpaduan, tanpa keluar daripada partinya (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

"Perkara ini (sokongan) dilakukan atas peribadi beliau sendiri," katanya ketika sidang akhbar selepas pembentangan Belanjawan 2024 di Lobi Parlimen pada Jumaat.

Iskandar Dzulkarnain dilapor membuat keputusan menyokong kerajaan pimpinan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak dalam menangani masalah kenaikan kos sara hidup.

Sebagai rekod pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, beliau yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) menang di kerusi Parlimen Kuala Kangsar dengan majoriti 3,566 undi.

Beliau bersaing empat penjuru menewaskan calon dari Barisan Nasional (BN), Datuk Maslin Sham Razman (10,814 undi); calon Pakatan Harapan (PH), Ahmad Termizi Ramli (10,356 undi) dan calon parti Pejuang, Yusmalia Mohamad Yusof yang memperoleh 204 undi.

Artikel Berkaitan: