Terima peruntukan tertinggi RM58.7 bilion

KPM komited capai agenda pemerkasaan sektor pendidikan

A
A
A

KPM menggalas amanah besar memastikan peruntukan dalam Belanjawan 2024 dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.
KPM menggalas amanah besar memastikan peruntukan dalam Belanjawan 2024 dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.



JUMAAT lalu, Kerajaan Perpaduan telah membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI yang memperlihatkan komitmen kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berterusan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

Bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memerkasakan Rakyat’, Belanjawan 2024 Malaysia MADANI menyediakan peruntukan keseluruhan sebanyak RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan dengan RM303.8 bilion diperuntukkan untuk mengurus manakala RM90 bilion lagi untuk tujuan pembangunan dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Melihat daripada belanjawan MADANI yang kedua itu, Kerajaan Perpaduan terus memberikan keutamaan utama terhadap pembangunan modal insan negara dalam aspek pendidikan sebagai asas kemajuan negara. Malah, aspek pendidikan, ia mampu meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat pada masa depan.

Keutamaan Kerajaan Perpaduan terhadap aspek pendidikan itu berjaya diterjemahkan dalam Belanjawan 2024 Malaysia MADANI menerusi peruntukan RM58.7 bilion kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekali gus menjadikan kementerian itu penerima terbesar peruntukan dalam belanjawan negara.

Infrastrukur pendidikan

Penerapan Karamah Insaniah KPM ditekankan melalui pembentukan nilai kepimpinan, sahsiah diri, adab dan integriti.
Penerapan Karamah Insaniah KPM ditekankan melalui pembentukan nilai kepimpinan, sahsiah diri, adab dan integriti.



Dari segi pecahan peruntukan RM58.7 bilion kepada KPM untuk tahun 2024, sebanyak RM2.5 bilion diperuntukkan untuk pembangunan infrastruktur pendidikan melalui pembinaan 26 buah sekolah baharu meliputi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laya-Laya di Sabah, SMK Baie (Sarawak), SMK Binjai (Kelantan), SMK Seri Melati (Pahang) dan SMK Bandar Universiti di Perak.

Sementara itu, komitmen Kerajaan Perpaduan menerusi KPM turut memberi perhatian terhadap pembinaan 26 buah bangunan baharu pendidikan prasekolah menerusi peruntukan sebanyak RM82 juta pada tahun 2024.

Artikel Berkaitan:


Pada masa sama, sebanyak RM1.9 bilion lagi akan disalurkan bagi tujuan menaik taraf dan menyelenggara sekolah di seluruh negara. Usaha itu akan dilaksanakan oleh KPM merangkumi RM930 juta bagi kerja-kerja menaik taraf bangunan dan prasarana daif melibatkan 450 buah sekolah manakala RM1 bilion lagi untuk penyelenggaraan di semua jenis sekolah termasuk Sekolah Pendidikan Khas dengan memberi tumpuan kepada keperluan murid autism.

Usaha membangunkan infrastruktur pendidikan itu ditegaskan KPM menerusi kenyataan rasmi pada Sabtu yang mana ia diperluaskan kepada pendidikan agama melalui pembangunan dua institusi pendidikan Islam baharu termasuk SMK Agama Jempol, Negeri Sembilan di bawah KPM melibatkan peruntukan RM220 juta.

Murid tercicir, pengukuhan STEM

KPM akan menaik taraf bangunan dan prasarana daif di 450 buah sekolah dengan peruntukan sebanyak RM930 juta.
KPM akan menaik taraf bangunan dan prasarana daif di 450 buah sekolah dengan peruntukan sebanyak RM930 juta.



Malah, hasrat KPM untuk menangani keciciran murid bakal direalisasikan dengan lebih efektif menerusi peruntukan RM150 juta dalam Belanjawan 2024 Malaysia MADANI untuk pelaksanaan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).

Bantuan itu diperluaskan kepada murid tingkatan tiga bermula pada tahun 2024 berbanding tahun lalu yang disalurkan hanya setakat kepada murid tingkatan satu. Manfaat bantuan KWAPM ini akan memanfaatkan satu juta orang murid yang layak di seluruh negara.

Pada masa sama, KPM akan memperluaskan bantuan persekolahan murid melalui Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) selepas tambahan kriteria kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi ibu bapa berpendapatan RM2,589 sebulan seperti mana yang diumumkan dalam belanjawan 2024. Sebelum ini, kriteria pendapatan ibu bapa bagi permohonan BKP ditetapkan pada kadar RM1,500 sebulan.

Sebagai persediaan menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), Kerajaan Perpaduan memperkukuhkan aspek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). KPM menerima peruntukan RM100 juta bagi tujuan menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah. Peruntukan kepada KPM itu akan turut melibatkan perolehan peralatan baharu bagi memperkasakan pembelajaran STEM.

Peruntukan besar KPM dalam Belanjawan 2024 Malaysia MADANI merupakan manifestasi perjuangan pendidikan manusiawi.
Peruntukan besar KPM dalam Belanjawan 2024 Malaysia MADANI merupakan manifestasi perjuangan pendidikan manusiawi.



Selaras dengan hasrat KPM mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah untuk semua, Belanjawan 2024 Malaysia MADANI memperuntukkan RM180 juta bagi membina 18 buah blok baharu untuk Pendidikan Khas melibatkan SMK Kubang Rotan di Kedah, Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Perda (Pulau Pinang) dan SMK Dato’ Ali Ahmad di Perlis.

Selain itu, peralatan sokongan Pendidikan Khas dan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) di sekolah akan diberikan perhatian utama oleh KPM menerusi peruntukan RM30 juta dalam Belanjawan 2024 Malaysia MADANI.

Di samping itu, RM100 juta turut diperuntukkan kepada KPM dalam melaksanakan pendekatan holistik dalam membantu murid yang telah terkesan akibat pandemik Covid-19.

Warga pendidik dan Karamah Insaniah

Peruntukan besar KPM dalam Belanjawan 2024 Malaysia MADANI merupakan manifestasi perjuangan pendidikan manusiawi.
Peruntukan besar KPM dalam Belanjawan 2024 Malaysia MADANI merupakan manifestasi perjuangan pendidikan manusiawi.



Usaha murni KPM untuk memastikan kesejahteraan warga kementerian dan para pendidik berupaya diterjemahkan melalui peruntukan RM2.4 bilion bagi membina, menyelenggara serta membaik pulih kuarters penjawat awam termasuk kuarters guru.

KPM turut akan memberi penekanan kepada penerapan Karamah Insaniah dalam kalangan murid sekolah melalui pelaksanaan program pembentukan karakter yang menumpukan kepada nilai kepimpinan, sahsiah diri, adab dan integriti.

Selain itu, KPM juga akan melaksanakan program Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara untuk memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang sedang dirangka dapat direalisasikan dengan mengambil kira cadangan dan kekhuatiran ibu bapa, warga pendidik dan industri.

Sesungguhnya, KPM menggalas amanah besar untuk memastikan peruntukan yang diberi dalam Belanjawan 2024 dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya sekali gus memastikan ia memberi impak kepada pembangunan pendidikan negara.

Malah, peruntukan besar kepada KPM dalam Belanjawan 2024 Malaysia MADANI itu disifatkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebagai satu perjuangan untuk pendidikan manusiawi selama ini.

Menurutnya, KPM akan terus komited untuk memastikan agenda dalam belanjawan berkenaan dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Peralatan sokongan Pendidikan Khas dan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) di sekolah akan diberikan perhatian utama oleh KPM menerusi peruntukan RM30 juta.
Peralatan sokongan Pendidikan Khas dan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) di sekolah akan diberikan perhatian utama oleh KPM menerusi peruntukan RM30 juta.



Belanjawan 2024 Malaysia MADANI

Tema: ‘Reformasi Ekonomi, Memerkasakan Rakyat’

Peruntukan Keseluruhan: RM393.8 bilion

Perbelanjaan Mengurus: RM303.8 bilion

Perbelanjaan Pembangunan : RM90 bilion

Simpanan Kuar Jangka: RM2 bilion

Peruntukan KPM 2024

-RM58.7 bilion - Peningkatan RM3.5 bilion berbanding tahun 2023 sebanyak RM55.3 bilion.

-RM2.5 bilion untuk pembinaan 26 sekolah baharu, antaranya;

-Sabah (SMK Laya-Laya, Tuaran)

-Sarawak (SMK Baei, Bintulu)

-Pahang (SMK Seri Melati, Kuantan)

-Perak (SMK Bandar Universiti, Bandar Seri Iskandar)

-Kelantan (SMK Binjai)

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyantuni murid-murid di Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kompleks Media Karangkraf, Shah Alam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyantuni murid-murid di Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kompleks Media Karangkraf, Shah Alam.



-RM1.9 bilion untuk menaiktaraf dan selenggara sekolah.

-RM930 juta ( Menaiktaraf 450 buah sekolah)

-RM1 bilion (penyelenggaraan semua jenis sekolah)

-RM82 juta untuk pemerkasaan pendidikan prasekolah.

26 bangunan baharu prasekolah antaranya;

-Sarawak (SK Abang Kadir Gedong, Simunjan)

-Pahang (SK Bunut Rendang, Kuantan)

-Melaka (SJKC Chabau).

-RM2.4 bilion bagi membina, menyelenggara serta membaik pulih kuarters penjawat awam termasuk kuarters guru.

-RM220 juta bagi pembinaan institusi pendidikan Islam termasuk SMKA Jempol, Negeri Sembilan.

-RM100 juta bagi tujuan menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah bagi memperkasakan pembelajaran STEM.

-KPM akan meningkatkan bilangan pelajar STEM menerusi Jawatankuasa Rentas Khas di peringkat kementerian.