Belanjawan 2024 tertinggi dalam sejarah negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Bangunan Parlimen bagi membentangkan Bajet 2024, di sini pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Bangunan Parlimen bagi membentangkan Bajet 2024, di sini pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

BELANJAWAN 2024 Malaysia Madani dilihat mengambil kira cadangan daripada pakar pelbagai bidang dan juga badan bukan kerajaan (NGO) bagi menambah baik sistem pengurusan dan kebajikan rakyat.

Peruntukan yang diterima adalah sebanyak RM393.8 bilion iaitu jumlah perbelanjaan yang besar dalam sejarah belanjawan negara.

Ia merangkumi RM303.8 bilion untuk belanja mengurus, RM90 bilion bagi pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Kerajaan telah memberi penekanan terhadap golongan rentan, pemerkasaan semula Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) serta perbelanjaan penambahbaikan fasiliti di beberapa kementerian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu konsisten dalam dalam membela nasib golongan miskin tegar apabila tetap meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM55 juta itu adalah bagi meringankan beban kos sara hidup golongan berpendapatan rendah.

Usaha tersebut dilihat sejajar dengan prinsip Kerajaan Madani yang memberi penekanan manusiawi dan kasih sayang.

Dalam pada itu, kerajaan turut mengumumkan peruntukkan sebanyak RM17 juta bagi melaksanakan Program Tahfiz TVET yang bukan sahaja memberi penekanan pembelajaran keagamaan, sebaliknya mencungkil potensi yang boleh disumbangkan kepada negara.

Artikel Berkaitan:

Cadangan tersebut berupaya melahirkan belia yang bukan sahaja berakhlak mulia tetapi membentuk modal insan dalam masyarakat.

Sementara itu, Belanjawan 2024 Malaysia Madani juga turut menimbulkan kekeliruan sesetengah pihak terutama pembangunan ekonomi yang tidak diberi fokus secara menyeluruh.

Perkara tersebut telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata, sebelum ini dalam dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) terdapat beberapa isu telah disentuh, namun tiada penjelasan secara holistik.

Menurut Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan Belanjawan 2024 yang dibentangkan Anwar memberi fokus kepada aspek rakyat.

Pemimpin daripada blok kerajaan mahupun pembangkang mempunyai pendirian yang berbeza, namun perkara tersebut tidak menghalang proses demokrasi terus berjalan bagi memastikan semak dan imbang dapat dilaksanakan.

Semua pihak berhak memberikan pandangan,namun rakyat mahukan perubahan dan keadilan sosial serta ekonomi yang lebih mampan untuk kesejahteraan bersama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!