Syarikat penerbangan tambang murah: Polis siasat sumber kewangan

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat punca kewangan pengasas bersama yang juga pemegang saham sebuah syarikat penerbangan tambang murah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk bagaimana syarikat penerbangan itu tertubuh.

Menurutnya, suspek dalam kes berkenaan pernah terkait dengan kes I-Serve Online Mall Sdn Bhd (I-Serve Online Mall) sebelum ini dan kemudian menubuhkan syarikat penerbangan.

"Dipercayai ia saling berkait antara satu sama lain dan kita (polis) tidak menolak kemungkinan ada lagi individu lain akan disiasat dan ditahan.

"Kita tengok hasil siasatan awal ini bagaimana, mungkin akan ada lagi yang akan disiasat selepas ini," katanya pada Khamis.

16 November 2021, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan berkata, sebanyak 22 premis i-Serve Online Mall Sdn Bhd dan syarikat sekutunya telah diambil tindakan penguatkuasaan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Kesemua premis di Kuala Lumpur dan Selangor diserbu dan dokumen berkaitan dirampas bagi membantu siasatan.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan seorang individu bergelar 'Datuk' bersama isteri dan seorang anak lelaki ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu bagi membantu siasatan berhubung kes sebuah syarikat penerbangan tambang rendah.

Artikel Berkaitan:

Ketiga-tiga mereka berusia 26 hingga 57 tahun itu ditahan di Shah Alam, Selangor.

Penahanan itu bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.