Pengasas bersama syarikat penerbangan, isteri dan anak direman 4 hari

Seorang 'Datuk' (belakang) bersama anak lelakinya ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. - Foto SINAR/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Seorang 'Datuk' (belakang) bersama anak lelakinya ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. - Foto SINAR/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang 'Datuk' bersama isteri dan seorang anak lelaki ditahan reman selama empat hari bermula Rabu bagi membantu siasatan berhubung kes sebuah syarikat penerbangan tambang rendah.

Kesemua suspek yang diiringi polis tiba di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di Menara KPJ, dekat sini jam 12.18 tengah hari.

Berbaju jingga tertera tulisan lokap polis, kesemua suspek dibawa menaiki ke pejabat JSJK bagi disoal siasat.

Terdahulu kesemua suspek dibawa menaiki sebuah kenderaan awam dari Lokap Berpusat Jinjang, dekat sini awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek utama yang merupakan seorang 'Datuk' adalah pengasas bersama serta pemegang saham sebuah syarikat penerbangan tambang rendah ditahan pada Selasa.

Beliau berkata, 'Datuk' serta anak lelaki dan isterinya ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes pengubahan wang haram.

Kata beliau, kesemua suspek telah dikenakan tahanan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini.

"Keputusan reman tersebut diperoleh selepas permohonan notis berkenaan dibuat di Lokap Berpusat Jinjang, dekat sini jam 10 pagi," katanya dalam satu pesanan ringkas kepada Sinar Harian pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki bergelar 'Datuk' ditahan bersama isteri serta anak lelakinya selepas disyaki terbabit kes pengubahan wang haram Selasa.

Ramli dilaporkan berkata, ketiga-tiga individu berstatus ahli keluarga yang ditahan tersebut berusia berusia 26 hingga 57 tahun.

Katanya, penahanan itu bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Tangkapan dilakukan kira-kira jam 5.30 petang di Shah Alam, Selangor.