DOA kitar semula bekas racun padi elak pencemaran

Mat Iesak (tengah) melawat kawasan tanaman padi diserang ulat pengorek batang selepas Majlis Pelancaran Kitar Semula Bekas Racun dan Pelancaran Produk Baharu Syngenta di BPIT Sungai Burong pada Khamis.
Mat Iesak (tengah) melawat kawasan tanaman padi diserang ulat pengorek batang selepas Majlis Pelancaran Kitar Semula Bekas Racun dan Pelancaran Produk Baharu Syngenta di BPIT Sungai Burong pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) mengumpul sebanyak 68 tan metrik bekas racun perosak tanaman padi untuk dikitar semula di seluruh negara pada tahun lalu.

Pengarah Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja DOA, Mat Iesak Ngathinee berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 8.8 tan metrik pula dikumpulkan di negeri Selangor.

Menurutnya, bagi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor merekodkan sebanyak dua pusat primer dan 35 pusat pengumpulan kecil di daerah Kuala Selangor.

"Bagi daerah Sabak Bernam pula sebanyak satu pusat primer dan 56 pusat pengumpulan kecil disediakan bagi memudahkan pesawah mengumpul botol racun untuk dikitar semula," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kitar Semula Bekas Racun dan Pelancaran Produk Baharu Syngenta di Bahagian Pembangunan Industri Tanaman (BPIT) Sungai Burong, di sini pada Khamis.

Mat Iesak berkata, aktiviti penanaman padi merekodkan kadar penggunaan input seperti racun makhluk perosak yang tinggi sekali gus menghasilkan sampah seperti botol dan racun.

Tegas beliau, bekas racun jika tidak dilupuskan dengan cara betul boleh mengakibatkan pencemaran di kawasan pengairan padi.

"Botol atau racun yang dibuang ke dalam saluran air di tepi-tepi parit berisiko tinggi tersumbat.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, sisa baki yang terdapat didalam bekas racun pula akan memudaratkan kesihatan manusia, haiwan dan organisma bukan sasaran," ujarnya.

Sehubungan itu, jelas beliau, kempen itu bertujuan mendidik pesawah mengitar semula tong racun di tempat pengumpulan primer dan kecil disediakan.

"Kempen ini sudah bermula 10 tahun lalu dan jumlah kutipan racun perosak untuk dikitar semula sentiasa meningkat setiap tahun.

"Ini menunjukkan kesedaran tinggi dalam kalangan pesawah untuk memastikan bekas atau tong racun ini diuruskan dengan lebih baik," tambahnya.