TH kukuh dalam kegetiran ekonomi

TH dilihat masih berpeluang memperbaiki kedudukan dengan syarat segala pelan strategik yang dirancang institusi kewangan itu dipatuhi dengan penuh komitmen dan kawalan tadbir urus yang baik.
TH dilihat masih berpeluang memperbaiki kedudukan dengan syarat segala pelan strategik yang dirancang institusi kewangan itu dipatuhi dengan penuh komitmen dan kawalan tadbir urus yang baik.
A
A
A

SHAH ALAM - Ekonomi global yang tidak stabil dan pasaran saham suram yang dijangka berlaku pada tahun 2020 dilihat memberi cabaran getir kepada Lembaga Tabung Haji (TH) untuk terus memperkukuhkan lagi kedudukan sebagai sebuah institusi kewangan Islam terbesar Malaysia.

Penganalisis ekonomi yang juga Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kesukaran itu diperkuatkan rentetan kegagalan pengurusan TH terdahulu yang lambat mengiktiraf aset-aset yang telah rosot nilai dengan teruk sehingga menyebabkan berlaku masalah dari segi pemberian hibah.

Beliau berkata, bagaimanapun di sebalik cabaran tersebut, TH dilihat masih berpeluang untuk memperbaiki kedudukan dengan syarat segala pelan strategik yang dirancang institusi kewangan itu dipatuhi dengan penuh komitmen dan kawalan tadbir urus yang baik.

Ahmed Razman
Ahmed Razman

"Selepas apa yang berlaku pada tahun 2019, saya melihat TH masih kekal utuh dari segi prestasi kewangannya dan reputasi sebagai institusi pengurusan dana Islam yang terbesar di negara.

"Ini terbukti apabila tidak berlaku pengeluaran simpanan secara besar-besaran oleh penyimpan, malahan pertambahan bilangan pendeposit baharu dijangka sebanyak 600,000 akaun pada tahun hadapan," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Malah, katanya, tindakan TH memindahkan aset-aset yang tidak menguntungkan kepada syarikat tujuan khas (SPV) milik Kementerian Kewangan dianggap sebagai satu langkah strategik yang tepat demi membolehkan TH fokus kepada aktiviti utamanya iaitu menguruskan urusan haji dan juga pelaburan menggunakan simpanan pendeposit.

"Walaupun aset-aset tersebut dipindahkan kepada SPV, TH masih lagi memiliki hak untuk membeli semula aset-aset berkenaan sekiranya SPV ingin menjual kembali aset-aset tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Ini juga akan memberi peluang kepada TH untuk memiliki aset-aset yang benar-benar mampu memberi pulangan yang tinggi kepada TH," katanya.

Tambah baik

TH juga dilihat boleh menambah baik beberapa perkara terutamanya dalam aspek pemberian subsidi haji kepada bakal jemaah yang akan menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Ahmed Azman berkata, antara cabaran terbesar yang dihadapi oleh TH dan tidak pernah dialami oleh mana-mana institusi kewangan Islam yang lain adalah pada setiap tahun TH perlu memperolehi cukup pendapatan untuk melaksanakan tiga perkara iaitu menampung belanja operasi seperti gaji pekerja dan kos pengurusan haji, membayar hibah kepada pendeposit termasuk memberi subsidi haji kepada yang pergi haji.

Katanya, kos subsidi itu meningkat saban tahun sehingga mencecah RM400,000 setiap tahun.

"Kita harus sedar pada zaman ekonomi yang mencabar, mungkin sudah tiba masanya pemberian subsidi ini diteliti semula kerana pada permulaan penubuhan TH, pemberian subsidi itu tidak wujud.

"Mungkin pemberian subsidi boleh diteruskan kepada bakal haji yang tergolong dalam B40 sahaja, manakala bakal haji M40 menerima subsidi 25 peratus dan bakal haji T20 tidak menerima lagi subsidi," katanya.

Selain itu, Ahmed Razman turut mencadangkan beberapa perkara lagi yang boleh dipertimbangkan TH bagi memastikan institusi kewangan itu lebih berdaya saing dalam memainkan fungsi sebenarnya pada masa depan.

Katanya, TH perlu mengehadkan jaminan simpanan kerajaan kepada RM200,000 sahaja, pengeluaran deposit dibenarkan selagi tidak kurang dari baki minimum tertentu seperti RM5,000 di samping meneruskan usaha mempelbagaikan portfolio pelaburan bukan sahaja ekuiti, malahan simpanan pulangan tetap dan hartanah tetapi meliputi pelaburan di luar negara.

Pelaburan

Seorang lagi penganalisis ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai ketika dihubungi Sinar Harian berkata, TH selaku institusi kewangan Islam bukan sahaja yang pertama di Malaysia, malah yang pertama di dunia sepatutnya menumpukan kepada matlamat utama untuk menarik deposit dengan mewujudkan satu sistem tabungan bagi menyediakan bakal haji mengerjakan haji.

Beliau berkata, keduanya TH ialah institusi kewangan contoh sepatutnya tidak terlibat dalam pelaburan kerana dilihat tidak mempunyai kepakaran mencukupi untuk menguruskan pelaburan.

"Tugas mengurus pelaburan sepatutnya TH serahkan kepada kumpulan pakar seperti syarikat PNB (Permodalan Nasional Berhad) dan jika ini boleh dilakukan, TH pasti tidak berdepan masalah.

"Masalah yang dihadapi TH ketika ini adalah masalah akibat prestasi pelaburan yang merosot khususnya disebabkan kelemahan pengurusan dan pasaran saham yang mencabar pada masa ini.

"Oleh itu, kita tidak boleh menyembunyikan fakta bahawa TH bukan institusi pelaburan kerana ia berfungsi sebagai institusi tabungan yang menyediakan umat Islam untuk pergi menunaikan haji," katanya.

Barjoyai
Barjoyai

Menurutnya, hari ini lebih 20 peratus sektor perbankan negara dikuasai oleh perbankan Islam, malah ia dilihat turut berkembang pesat di negara-negara Islam lain.

Justeru katanya, sudah tiba masa untuk TH memikirkan bagaimana institusi ini boleh diubah dan dikembangkan menjadi institusi kewangan baharu dan berasaskan kepada teknologi kewangan dengan memperkenalkan mata wang kripto juga perbankan digital.

"Ia akan membolehkan institusi ini atau memastikan umat Islam di Malaysia semuanya diliputi oleh sistem kewangan ataupun dipanggil financial inclusiveness.

"TH juga boleh mengembangkan aktiviti sama kepada aktiviti haji untuk umat Islam di seluruh dunia melalui sistem maya," katanya.

Dalam pada itu, Barjoyai juga bersetuju sekiranya pemberian subsidi kepada jemaah haji dibuat secara bersasar kerana bukan semua jemaah memerlukan bantuan daripada TH.

Katanya, jika TH hanya menyasarkan kumpulan-kumpulan yang sangat memerlukan bantuan dan inilah di mana skim pelaburan atau skim tabungan boleh diatur.

"Contohnya, sebaik pendeposit mula mendeposit dengan TH, kita boleh tentukan bila dia akan mempunyai wang mencukupi untuk pergi haji dan pada masa itu, sekiranya TH ada keupayaan, boleh bantu pendeposit mempercepat tempoh pergi haji dengan meminjamkan keupayaan pelaburan bagi membolehkan penabung itu mengumpul simpanan lebih cepat bagi mengerjakan haji.

"Selain itu, ramai jemaah yang pergi haji lebih dari sekali dan berpuluh-puluh kali mengerjakan umrah. Ini sebenarnya boleh digunakan TH untuk mewujudkan satu peluang bagi memperoleh keuntungan atau sumbangan daripada kumpulan tersebut yang ada keupayaan lebih untuk membantu kumpulan yang memerlukan bantuan menunaikan haji," katanya.