Muhyiddin sangkal dakwaan terlibat dengan MYAirline

Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan bahawa beliau mempunyai kaitan dengan isu yang mengakibatkan penutupan syarikat penerbangan MYAirline.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu menegaskan, beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai latar belakang syarikat itu.

“Saya dapati ada pihak yang cuba mengaitkan saya dengan kemelut yang melibatkan syarikat penerbangan MYAirline.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tiada kaitan langsung dengan syarikat penerbangan ini atau mana-mana pemegang saham syarikat,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook pada Rabu.

Baru-baru ini Sinar Harian melaporkan, syarikat penerbangan tambang murah itu mengumumkan penggantungan operasi berkuat kuasa pada 12 Oktober lalu.

Menerusi satu kenyataan, syarikat itu berkata, penggantungan tersebut akan berlanjutan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menurutnya, tekanan kewangan menjadi punca keputusan sukar itu terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, syarikat penerbangan itu mendapatkan kelulusan bersyarat lesen perkhidmatan udara sewaktu beliau tidak lagi bergelar Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, penglibatan sebuah firma guaman sebagai peguam bagi pihak pemegang saham syarikat MYAirlines sama sekali tidak boleh dikaitkan dengan beliau.

Muhyiddin berkata, firma guaman itu berhak untuk mewakili sesiapa sahaja yang memerlukan khidmat guamannya.

“Saya percaya ada pihak-pihak tertentu yang cuba mencemarkan nama baik saya dengan membuat tuduhan jahat kononnya saya terbabit dengan syarikat ini.

“Hentikanlah politik murahan yang kotor ini,” tegasnya.