PM mahu lebih ramai penyelidik negara sumbang kepada industri

Anwar Ibrahim - Foto Bernama
Anwar Ibrahim - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu lebih ramai penyelidik negara memberanikan diri untuk menyumbang kepada industri serta menerajui inovasi berteraskan sains, teknologi dan inovasi (STI).

Beliau juga menyeru pihak industri supaya membuka lebih banyak peluang kerjaya untuk pekerja berilmu dan berkemahiran tinggi ke arah mempertingkat prestasi masing-masing.

"Saya gusar bahawa data menunjukkan 87.5 peratus penyelidik di Malaysia berkhidmat di institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan awam berbanding negara lain di rantau Asia Tenggara seperti Thailand dan Singapura di mana 50 peratus dan ke atas penyelidik berada di sektor industri.

"Saya lontarkan cabaran kepada hadirin dan hadirat sekalian sebagai pakar dan ilmuan untuk menjadi pemacu perubahan, bergerak supaya lebih berdaya saing dan mampan, memperkukuh ekosistem STI negara, membangunkan bakat yang sejajar dan memanfaatkan rakyat melalui STI harus menjadi keutamaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Penganugerahan Felo Akademi Sains Malaysia dan Pengiktirafan Top Research Scientists Malaysia 2023 di sini malam Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi Chang Lih Kang.

Anwar juga berkata, beliau menyokong syor di dalam Pelan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersilan dan Inovasi (RDCI) iaitu mewujudkan satu Platform Inovasi Nasional untuk membawa pihak yang mencari penyelesaian serta yang memberikan penyelesaian ke arah mempertingkat prestasi inovasi negara.

Beliau berkata, ia penting bagi menghidupkan semula kepercayaan rakyat terhadap STI dalam merealisasikan kemajuan sosioekonomi.

Artikel Berkaitan:

"Komuniti saintifik negara juga harus mengubah cara kerja supaya berorientasikan misi dan menjurus kepada pemberian penyelesaian serta merungkaikan cara untuk laksanakan sesuatu inisiatif secara menyeluruh dan efektif.

"Penterjemahan ilmu, penemuan baharu dan hasil penyelidikan kepada penyelesaian bagi cabaran yang dihadapi negara serta masyarakat patut menjadi fokus utama ke arah menjana impak positif,” katanya.

Perdana Menteri berkata, untuk merealisasikan aspirasi STI negara, komuniti saintifik Malaysia perlu berkolaborasi dengan efektif bersama-sama kerajaan, industri dan masyarakat sivil bagi membolehkan negara mencapai sasaran berada di kedudukan antara 30 negara teratas dalam Indeks Inovasi Global (GII) menjelang 2025.

"Saya juga ingin menyarankan supaya semua badan pemikir yang ada di negara ini bersatu di bawah satu perikatan badan pemikir negara dalam memberikan input holistik berpaksikan pemikiran masa depan,” katanya. - Bernama