Cadangan naik cukai perkhidmatan langkah tidak konsisten - Mohd Amar

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU - Pas melihat cadangan kerajaan Persekutuan untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus menerusi pembentangan Belanjawan 2024 sebagai langkah tidak konsisten.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara itu akan mencetuskan isu yang besar dalam kalangan rakyat.

Menurut beliau, Kerajaan Madani juga didakwa melakukan hal yang sebelum ini dikritik oleh mereka sendiri semasa bergelar pembangkang.

“Kalau dilihat dulu mereka mengkritik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana enam peratus dikatakan tinggi, tiba-tiba diganti dengan cukai perkhidmatan dan naik lagi lapan peratus, lebih tinggi daripada GST.

“Nampak tidak konsisten, waktu jadi pembangkang semua benda dikritik, sekarang apabila jadi kerajaan, perkara yang dikritik itu dibuat, cakap tak serupa bikin,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa program ziarah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor di sini pada Selasa.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan menaikkan kadar cukai itu berbanding enam peratus sebelum ini.

Peningkatan tersebut tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

Mohd Amar (kiri) menyampaikan sumbangan kepada pesakit terlantar di Panchor, Kota Bharu pada Selasa.
Mohd Amar (kiri) menyampaikan sumbangan kepada pesakit terlantar di Panchor, Kota Bharu pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Amar juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sekali lagi mengingatkan kerajaan Pusat supaya tidak leka dengan pujian yang diberikan terhadap belanjawan itu sebaliknya memberikan perhatian terhadap kritikan.

Katanya, pandangan negatif daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan profesional perlu diambil kira untuk kebaikan rakyat.

“Kerajaan perlu mengambil perhatian supaya langkah pembetulan boleh dilakukan.

“Kebanyakan pandangan di akhbar hanya pujian sedangkan banyak lagi kritikan sehinggakan sesetengahnya mengatakan 'tak ada benda pun dalam belanjawan ini yang boleh dibanggakan'," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!