[INFOGRAFIK] Belanjawan 2024, ke mana wang negara disalurkan?

Sektor sosial mencatatkan peruntukan terbesar dalam perbelanjaan mengurus iaitu sebanyak RM121.3 bilion. FOTO: Dijanakan oleh AI DALL-E3
Sektor sosial mencatatkan peruntukan terbesar dalam perbelanjaan mengurus iaitu sebanyak RM121.3 bilion. FOTO: Dijanakan oleh AI DALL-E3
A
A
A
[INFOGRAFIK] Belanjawan 2024 yang dibentangkan baru-baru ini menyaksikan negara memperuntukkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM393.8 bilion.

Belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu disifatkan sebagai anggaran peruntukan Persekutuan terbesar setakat ini.

Jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak RM7.66 bilion berbanding Belanjawan 2023 bernilai RM388.1 bilion.

Secara amnya, Belanjawan 2024 mengandungi komponen anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM303.8 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM90 bilion.

Ia turut memuatkan simpanan luar jangka sebanyak RM2 bilion, sekali gus menjadikan keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan pada 2024 ialah RM395.8 bilion


Persoalannya, ke manakah wang yang dijana oleh negara itu akan disalurkan?


Menurut Buku Anggaran Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan 2024, komponen perbelanjaan mengurus sebanyak RM303.8 bilion yang diperuntukkan akan digunakan untuk menggerakkan aktiviti kerajaan.

Daripada jumlah tersebut, RM95.6 bilion disediakan untuk membayar gaji kakitangan awam yang menjadi enjin penting kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Berdasarkan agihan mengikut sektor, sektor sosial mencatatkan peruntukan terbesar dalam perbelanjaan mengurus iaitu sebanyak RM121.3 bilion.
Artikel Berkaitan:


Daripada jumlah tersebut, peruntukan berjumlah RM65.1 bilion itu akan diagihkan kepada sub sektor pelajaran dan latihan.

Ini kerana kerajaan memberi penekanan pendidikan berkualiti yang fokus terhadap pendidikan bakat untuk persiapan masa hadapan.

Salah satu manfaat daripada peruntukan yang diagihkan itu adalah bantuan awal persekolahan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM788 juta.

Sementara itu, kerajaan masih lagi fokus kepada aspek kesihatan dengan memperuntukkan sejumlah RM35.48 bilion di bawah sub sektor kesihatan dan kependudukan.

Ia sejajar dengan misi kerajaan untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang berkualiti bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Peruntukan tersebut diterjemahkan dalam bentuk manfaat kepada 700,000 orang menerusi Skim Perubatan Madani melibatkan RM100 juta.

Selain sektor sosial, perbelanjaan mengurus juga fokus kepada sektor lain yang terdiri daripada ekonomi, keselamatan, pentadbiran, tanggungan tertentu dan bayaran pindahan.

Bagaimanapun, jumlah peruntukan disalurkan ke sektor-sektor berkenaan tidak sebanyak diterima oleh sektor sosial.



Pemberian dan bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri juga disediakan di bawah perbelanjaan mengurus.

Menurut Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2024, ia merangkumi 13 jenis pemberian dan bantuan yang dianggarkan berjumlah RM8.62 bilion.

Pemberian tersebut meningkat sebanyak 3.1 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu sekitar RM8.36 bilion.

Berdasarkan pemberian tersebut, setiap negeri menerima peningkatan pemberian antara RM10 hingga 41 juta berbanding tahun lalu.

Pahang menjadi penerima tertinggi manakala Pulau Pinang pula menjadi penerima terendah pemberian dan bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan.



Bagi komponen perbelanjaan pembangunan pula, peruntukan RM90 bilion (tidak termasuk simpanan luar jangka) disalurkan ke empat sektor iaitu ekonomi, sosial, keselamatan dan pentadbiran.

Namun, sektor ekonomi menerima peruntukan terbesar melibatkan agihan perbelanjaan sebanyak RM45.23 bilion, menurut Buku Anggaran Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan 2024.

Ini kerana sektor tersebut memainkan peranan untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti melalui pelbagai projek yang sedang dilaksanakan, sekali gus mengukuhkan daya tahan ekonomi.

Di bawah sektor berkenaan, sub sektor pengangkutan nampaknya menjadi keutamaan dengan peruntukan sebanyak RM19.13 bilion.

Ini kerana kerajaan masih memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek-projek kemudahan pengangkutan seperti lebuh raya dan pembinaan landasan kereta api.

Bagi tujuan tersebut, sebanyak RM2.8 bilion diperuntukkan untuk menyelenggara jalan dan jambatan persekutuan manakala RM148 juta pula diperuntukkan untuk baik pulih landasan kereta api di Pantai Timur.

Selain itu, sebanyak RM100 juta disediakan untuk menyelenggara dan menggantikan lampu jalan raya dengan jenis LED bagi tujuan penjimatan elektrik.

Sementara itu, sektor sosial menerima peruntukan kedua tertinggi iaitu RM28.32 bilion dengan agihan kepada sembilan sub sektor.

Daripada jumlah tersebut, sub sektor pelajaran dan latihan menerima peruntukan tertinggi berjumlah RM14.27 bilion, selaras dengan fokus kerajaan terhadap pembangunan modal insan.

Jumlah tersebut dijangka memberi manfaat kepada pendidikan prasekolah, pendidikan khas, program pembangunan sukan dan infrastruktur sokongan pendidikan.

Bagi simpanan luar jangka pula, RM2 bilion yang diperuntukkan akan digunakan untuk membiayai projek pembangunan yang memerlukan peruntukan tambahan di luar jangkaan.



Secara amnya, Belanjawan 2024 disediakan berdasarkan input daripada pelbagai pihak agar lebih menyeluruh dan terangkum supaya tidak ada pihak yang tercicir.

Anwar berkata, Kementerian Kewangan telah mengadakan pelbagai sesi libat urus bagi memastikan proses penyediaan belanjawan lebih menyeluruh dan terangkum.

“Pelbagai sesi libat urus termasuk jelajah ke negeri-negeri untuk menghimpunkan pandangan pelbagai pihak mewakili kementerian, persatuan, dewan perniagaan, pakar ekonomi, ilmuan, teknorat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan antarabangsa dan orang awam,” katanya.

Kementerian Kewangan juga telah mengadakan beberapa sesi dialog bagi membincangkan isu-isu kritikal serta mendapatkan cadangan dan input penting dalam menghayati denyut nadi dan aspirasi rakyat, tambahnya.

Di samping itu, ia juga disediakan berdasarkan pemetaan matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals - SDG).

Hal tersebut bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memantau pencapaian dan mengenal pasti jurang pembiayaan mengikut SDG selain membantu pencapaian kemajuan Malaysia dalam Agenda Mampan 2030.



Menurut Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2024, agihan terbesar bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan Belanjawan 2024 ialah SDG4: Pendidikan berkualiti iaitu sebanyak 21 peratus.

Ia kemudiannya diikuti oleh SDG16: Keamanan, keadilan dan keutuhan institusi (19.9 peratus) serta SDG3: Kesihatan dan kesejahteraan yang Baik (11.5 peratus).

“Peruntukan yang tinggi bagi ketiga-tiga SDG ini lebih tertumpu kepada menyediakan sistem pendidikan yang berkualiti untuk memastikan pembelajaran yang berkesan dengan menyediakan kemahiran dan pengetahuan agar dapat memenuhi aspirasi negara untuk menghasilkan peningkatan dari segi sosial, ekonomi dan kesihatan seluruh rakyat,” menurut buku tersebut.

Oleh yang demikian, kerajaan sentiasa memberi tumpuan untuk mewujudkan kemudahan asas pembelajaran di setiap peringkat pendidikan sama ada sekolah rendah, menengah ataupun universiti.

Selain itu, kerajaan turut mengutamakan kemapanan sistem kesihatan bagi menjamin kesejahteraan rakyat yang hakiki dengan penekanan kepada menaiktaraf fasiliti kesihatan di seluruh negara.

Untuk rekod SDG ialah agenda pembangunan dunia yang diadaptasi oleh 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2015.

Ia bertujuan mengakhiri kemiskinan, melindungi bumi dan memastikan kemakmuran penduduk dunia sehingga 2030.

SDG mengandungi 17 matlamat pembangunan berterusan dengan 169 sasaran spesifik.



Secara amnya, Malaysia bergantung kepada beberapa asas hasil bagi menanggung anggaran perbelanjaan Persekutuan 2024.

Ia terdiri daripada hasil bukan cukai; pinjaman dan penggunaan aset kerajaan; cukai pendapatan; cukai langsung lain dan cukai tidak langsung.

Hasil bukan cukai antaranya adalah lesen, permit, yuran perkhidmatan, jualan barang dan harta serta pendapatan pelaburan.

Cukai langsung pula terdiri daripada cukai individu, pendapatan syarikat (CITA), dan pendapatan petroleum (PITA) manakala cukai tidak langsung ialah cukai jualan dan perkhidmatan (SST), duti eksais, import dan eksport.

Justeru, kerajaan akan terus meningkatkan pengurusan hasil dan cukai melalui inisiatif pembaharuan yang komprehensif.

Ia penting bagi menjana hasil yang mapan untuk agenda sosioekonomi serta pembangunan dan daya saing negara.

Inisiatif tersebut akan menekankan pengoptimuman pentadbiran cukai; mengurangkan kehilangan dan pembaziran cukai; serta memudahkan pelaburan baharu untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi.