Pemantauan maklum balas Belanjawan 2024 dimulakan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Proses pemantauan maklum balas dan cadangan yang disuarakan segenap pihak di media sosial terhadap Belanjawan 2024 bagi tujuan penambahbaikan telah mula dilaksanakan, kata Ketua Seksyen Bahagian Perolehan Kerajaan Kementerian Kewangan (MOF) Ahmad Fauzi Sungip.

Bercakap kepada Bernama selepas sesi Taklimat Khas Belanjawan 2024 di sini hari ini, Ahmad Fauzi yang juga Timbalan Ketua Pasukan Belanjawan 2024 MOF berkata, pasukan yang dianggotai kira-kira 27 pegawai MOF dan pelbagai agensi itu, telah memulakan pemantauan peringkat permulaan semalam.

"Kerajaan sedia dengar sebarang kritikan dan pandangan daripada semua pihak. Daripada maklum balas yang diterima, kita (Pasukan Belanjawan 2024 MOF) akan cuba selesaikan masalah (yang timbul).

"Contoh, kalau ada maklum balas berkaitan subsidi atau cukai, kita cuba selesaikan masalah dan tambah baik untuk tidak sukarkan proses pelaksanaan,” katanya yang menjadi panel pada taklimat anjuran Kementerian Komunikasi dan Digital.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Oktober, dilaporkan berkata kerajaan akan meneliti langkah yang boleh diperbaiki dalam Belanjawan 2024.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata proses penambahbaikan dokumen perancangan belanjawan negara itu akan dilakukan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelbagai pihak.

Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ yang dibentangkan pada 13 Okt lepas melibatkan peruntukan RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan, dengan RM303.8 bilion adalah belanja mengurus, RM90 bilion bagi belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Ahmad Fauzi berkata, pasukan tersebut turut memantau sesi perbahasan Belanjawan 2024 yang bermula semalam di Parlimen bagi mendapatkan input yang dibahaskan oleh setiap Ahli Parlimen.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 akan dibahas di peringkat dasar selama lapan hari, sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 30 Okt.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ahmad Fauzi, pasukan sama telah memantau dan meneliti setiap maklum balas sebelum Belanjawan 2024 dibentangkan, bermula Julai lepas dengan lebih 10,000 maklum balas telah diterima melalui portal MOF serta program turun padang yang telah diadakan MOF dan pelbagai kementerian lain.

"Setiap maklum balas yang mempunyai impak dan faktor ‘wow’ telah dimasukkan dalam Belanjawan 2024 bagi memastikan keterangkuman dalam semua aspek termasuk kebajikan rakyat, bantuan serta pembangunan prasarana negara," katanya. - Bernama