820,000 pelajar perempuan Tingkatan 1 belum dapat imunisasi HPV

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) sedang dalam proses perolehan vaksin bagi meneruskan pelaksanaan pemberian imunisasi HPV kepada 820,000 pelajar perempuan Tingkatan 1 yang tercicir daripada mendapat suntikan vaksin berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Saun berkata, pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah menyebabkan gangguan bekalan vaksin HPV peringkat global, sekali gus menjejaskan pelaksanaan pemberian imunisasi HPV di Malaysia, khususnya melibatkan pelajar perempuan Tingkatan 1 bermula 2021.

"Proses perolehan vaksin ini telah mengambil kira proses perolehan kerajaan selaras pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

"KKM komited memastikan semua pelajar perempuan (Tingkatan 1) kohort 2021, 2022 dan 2023 yang tercicir dapat terima vaksin HPV sebelum mereka tamat persekolahan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang ingin tahu perancangan KKM untuk membeli vaksin HPV, jenis vaksin dan jangka masa untuk memastikan mereka yang tercicir terutamanya pada zaman Covid-19 mendapat vaksin yang diperlukan.

Lukanisman berkata, keutamaan akan diberikan kepada pelajar perempuan Tingkatan 1 kohort 2021 terlebih dahulu, diikuti kohort 2022 dan kohort 2023, namun jangka masa pemberian suntikan bergantung kepada jumlah vaksin yang diperoleh kelak.

Menjawab soalan tambahan Dr Kelvin mengenai usaha mempercepatkan perolehan itu, beliau berkata, KKM sudah membuka kepada petender untuk mendapatkan jenis vaksin bersesuaian dan sedang menunggu persetujuan Kementerian Kewangan agar proses perolehan ini dapat dilakukan segera.

Artikel Berkaitan:

Katanya, KKM turut menyediakan 600 pasukan imunisasi yang sudah bersedia siap untuk proses vaksinasi di setiap sekolah dengan mobilisasi pasukan itu akan disegerakan sekiranya perolehan telah dipersetujui oleh kementerian.

"Sudah pasti kami akan jalankan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan memandangkan kumpulan sasar dalam lingkungan remaja perempuan 13 tahun dan 600 pasukan ini berada di luar bandar dan pinggir bandar,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berhubung vaksin satu dos dan usaha mendapatkan vaksinasi HPV berkenaan, beliau berkata, KKM yakin usaha memperoleh vaksin itu akan dapat dipercepatkan sekali gus memastikan tiada yang tercicir daripada mendapatkan imunisasi berkenaan.

"Berkenaan dos (HPV), ketika ini sememangnya kita guna pemberian vaksin kuadrivalen sebanyak dua dos dan perancangan kami untuk perolehan akan datang untuk beri vaksin satu dos. Kita beri jaminan keberkesanan dengan penggunaan satu dos tersebut,” katanya. - Bernama