Pulau syarikat antarabangsa beri dana kepada Israel

Foto AFP. Gambar kecil: Wan Salim
Foto AFP. Gambar kecil: Wan Salim
A
A
A

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Seluruh rakyat Malaysia digesa memulaukan semua syarikat terutamanya syarikat antarabangsa yang didapati memberi dana kepada rejim Israel.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, sebagai negara Islam, Malaysia diminta supaya menuruti tindakan beberapa negara termasuk Arab Saudi, Mesir, Lubnan dan Kuwait yang sudah memulau syarikat-syarikat berkaitan.

"Saya menggesa seluruh rakyat Malaysia supaya memulau kesemua perniagaan antarabangsa dari Amerika Syarikat kerana didapati menyalurkan bantuan kepada rejim Zionis dan tentera Israel yang menyerang rakyat Palestin di Gaza.

"Umat Islam di seluruh dunia wajib membantu saudara mereka yang sedang berjuang di bumi Palestin bagi mempertahankan diri dan tanahair mereka menghadapi serangan kejam daripada rejim Israel," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Sebelum ini, tentera Israel telah memusnahkan semua kemudahan asas termasuk hospital, masjid, bekalan air dan kediaman penduduk di bumi Gaza.

Israel turut didakwa mula menyerang kawasan pelabuhan barat Gaza dengan bom fosforus putih yang boleh mengakibatkan sesak nafas, menurut sumber perubatan Palestin.

Serangan itu menyebabkan beratus-ratus rakyat Palestin mengalami sesak nafas, dengan sejumlah besar daripada mereka dibawa ke hospital, manakala yang lain menerima rawatan perubatan di lapangan.

Dalam pada itu, Wan Salim turut menggesa seluruh rakyat Malaysia termasuk bukan Islam supaya menunaikan tanggungjawab kemanusiaan dengan menghulurkan bantuan kepada penduduk Gaza khususnya dan rakyat Palestin secara umum untuk meringankan penderitaan mereka akibat serangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Amerika Syarikat perlu disedarkan supaya menghentikan polisi 'double standard' yang dipraktikkannya selama ini.

"Kuasa besar dunia itu menyokong Republik Ukrain menentang Rusia, sedangkan di Palestin ia menyebelahi penjajah Israel dan membantunya menyerang rakyat yang berjuang untuk mengembalikan hak dan negara mereka yang dirampas oleh Israel sejak tahun 1948," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!