Penduduk bantah bina jalan berdekatan selekoh, curam

Faizal (tengah) menyerahkan petisyen bantahan kepada Mohd Maskor (kanan) selepas bantahan aman pendud Kampung Bukit Cherakah di sini pada Ahad.
Faizal (tengah) menyerahkan petisyen bantahan kepada Mohd Maskor (kanan) selepas bantahan aman pendud Kampung Bukit Cherakah di sini pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kira-kira 50 penduduk menyertai himpunan aman membantah pembinaan jalan utama bagi menggantikan Jalan 1 Kampung Felda Bukit Cherakah di sini yang telah wujud sejak lebih 40 tahun tahun.

Pengerusi Pertubuhan Gerakan Generasi Kedua kampung berkenaan, Faizal Rahman, 39, berkata, penduduk berharap jalan utama kampung itu dikekalkan kerana terletak di kawasan strategik terutama kepada penduduk dan peniaga di kampung berkenaan.

Menurutnya, sekiranya laluan utama itu ditutup, sudah tentu ia menjejaskan peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan di laluan terbabit.

"Laluan masuk utama kampung ini dulunya ada empat premis perniagaan di kawasan ini, tetapi telah diroboh dan dipindahkan.

"Kami di peringkat kampung mengambil inisiatif sendiri memindahkan peniaga di tanah lot dan pintu masuk kedua kampung bagi membolehkan mereka meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing," katanya ketika ditemui selepas bantahan itu di Felda Kampung Bukit Cherakah di sini pada Ahad.

Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa lot kedai berhadapan premis yang telah dirobohkan masih berada di laluan pintu masuk utama tersebut.

"Kita bimbang jika jalan ini ditutup mereka juga akan terjejas dan bayangkan mereka sudah berniaga puluhan tahun lamanya di sini," jelas beliau.

Faizal memberitahu, penduduk juga meluahkan kebimbangan laluan baharu bakal dibina nanti terletak di kawasan berisiko berlakunya kemalangan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, laluan itu dibina kira-kira 200 meter daripada laluan sedia ada dan bertentangan dengan Pusat Koreksional Puncak Alam, Jabatan Penjara Malaysia.

"Laluan masuk baru ini terletak di kawasan selekoh dan persimpangan tersebut terletak di kaki bukit jalan yang curam (dari arah Puncak Alam) dan selekoh berbukit (dari arah Meru), sedangkan kawasan tersebut kerap kali berlaku kemalangan.

“Kami tidak tahu apa alasan dan penjelasan mereka hendak menutup jalan lama, sedangkan kalau ada pembangunan sekali pun, bukan kami menolak, tetapi biarlah jalan tersebut kekal bagi memudahkan penduduk untuk keluar masuk dari Jalan Utama (Meru-Puncak Alam),” jelasnya

Menurut Faizal, penduduk kesal apabila tidak terlibat dalam perbincangan dengan pihak berwajib yang bercadang memindahkan laluan utama tersebut.

"Sebarang bentuk pembangunan di kawasan ini termasuk cadangan pembinaan baharu sepatutnya dimaklumkan kepada penduduk.

"Penduduk juga berhak mengemukakan pandangan bagi memastikan segala bentuk pembangunan dilaksanakan nanti tidak menjejaskan penduduk di sini," tegas beliau.

Sehubungan itu, katanya, bagi menyatakan bantahan itu, penduduk menyerahkan petisyen setebal empat muka surat dan ditandingi mereka kepada Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya, petisyen itu diserahkan kepada Pegawai Khas Dzulkefly, Mohd Maskor Tumiran selepas bantahan di kampung berkenaan.

"Penduduk juga akan mengemukakan memorandum bantahan kepada Menteri Besar Selangor di Bangunan SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) pada minggu depan bagi menghalang pemindahan laluan itu," tambahnya.

Nizamuddin
Nizamuddin

Sementara itu, seorang penduduk, Nizamuddin Rosli, 37, berkata, penutupan jalan utama itu dibimbangi menutup 'periuk nasi' peniaga di laluan tersebut.

Jelasnya, laluan itu sering menjadi laluan alternatif kepada penduduk Puncak Alam Fasa 1 dan Fasa 2.

"Jalan ini menjadi laluan alternatif penduduk dari Puncak Alam untuk mengelakkan kesesakan pada waktu puncak dan menjadi persinggahan mereka dan ia secara tidak langsung memberi impak ekonomi kepada peniaga di sini," katanya.

Muhamad Reduan
Muhamad Reduan

Peniaga kedai runcit, Muhamad Reduan Ibrahim, 28, berkata, sekiranya laluan baharu dibuka sudah tentu memberi kesan kepada perniagaan keluarganya sejak 30 tahun lalu.

"Kalau jalan utama ditutup, maknanya jumlah penduduk yang lalu di sini semakin berkurang dan perniagaan kami pun berisiko terjejas," katanya.

Seorang peniaga kedai makan, Mohd Yasin Md Yassin, 40, berkata, gerainya itu antara empat premis perniagaan yang telah dirobohkan pada tahun lalu.

Mohd Yasin
Mohd Yasin

Mohd Yasin berkata, meskipun telah berpindah ke tapak baharu, namun pendapatannya turut terjejas berbanding di tapak lama.

"Kalau dulu, saya anggarkan 100 pelanggan singgah di kedai makan saya, tapi apabila berpindah ke dalam sedikit, jumlah pelanggan juga berkurangan lebih-lebih lagi dalam keadaan kos sara hidup meningkat," luah Mohd Yasin.

Sementara itu, Mohd Maskor berkata, petisyen dihantar penduduk itu akan diserahkan kepada Dzulkefly untuk tindakan lanjut.

"Selepas ini kita cuba cari jalan penyelesaian terbaik termasuk mengadakan perjumpaan dengan pihak terbabit bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara ini," jelas beliau.