Penduduk bantah bina pencawang di padang bola sepak

Maruwan (kanan) dan Mohd Shamsudin (tiga dari kanan) bersama penduduk menunjukkan permukaan padang rosak dan ditakungi air akibat kerja-kerja pembinaan pencawang.
Maruwan (kanan) dan Mohd Shamsudin (tiga dari kanan) bersama penduduk menunjukkan permukaan padang rosak dan ditakungi air akibat kerja-kerja pembinaan pencawang.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Penduduk di Kampung Dato Adam, Jalan Bagan Pasir Tanjong Karang di sini membantah kerja-kerja pembinaan pencawang telekomunikasi dalam kawasan padang bola sepak di kampung berkenaan.

Seorang penduduk, Johari Abdullah, 39, berkata, pembinaan pencawang itu mengganggu penduduk setempat untuk beriadah pada waktu petang.

Malah katanya, kerja-kerja pembinaan itu menyebabkan permukaan padang bola sepak itu rosak dan ditakungi air.

"Kami kesal apabila padang yang kami selenggara dengan baik bertambah teruk akibat kemasukan jentera untuk melaksanakan kerja pembinaan pencawang," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Johari berkata, lebih membimbangkan kerana beliau dan keluarga menetap hanya kira-kira 50 meter dari padang berkenaan.

"Jika pembinaan ini diluluskan, kami risau memberi kesan negatif radiasi terhadap kesihatan," jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Fairus Asri, 42, berkata, pembinaan pencawang perlu dihentikan segera kerana padang itu memberi pelbagai manfaat kepada kira-kira 500 penduduk.

"Padang ini berusia lebih 40 tahun dan satu-satunya tempat pelbagai peringkat usia bermain bola sepak serta membuat aktiviti riadah.

"Kami membantah jika ada sebarang usaha untuk membina pencawang telekomunikasi tanpa persetujuan penduduk," jelasnya.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dato Adam, Shahrezza Abu Kassim berkata, kerja-kerja pembinaan pencawang itu mula dikesan sejak Selasa.

Tegas beliau, pelaksanaan kerja-kerja itu tidak dimaklumkan kepada beliau dan penduduk kampung.

"Kami tidak dimaklumkan tentang pembinaan pencawang ini dan mereka sepatutnya memberitahu terlebih dahulu kepada pimpinan setempat sebelum membuat sebarang pembinaan.

"Saya kecewa kerana melihat permukaan padang rosak lebih-lebih lagi kita bercadang mengadakan perlawanan persahabatan bola sepak pada Ahad ini," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Maruwan Ahmad berkata, perkara itu dipandang serius berikutan kawasan itu menjadi tempat anak muda dan penduduk kampung beriadah.

Katanya, penduduk merayu agar pencawang itu tidak dibina di kawasan padang bola sepak atas faktor keselamatan.

"Kita fikirkan dari segi risiko keselamatan kerana tidak mahu apa-apa berlaku boleh mengancam keselamatan penduduk di sini," jelas beliau.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong, Mohd Shamsudin Lias pula berkata, beliau telah dimaklumkan oleh kepimpinan kampung berkenaan mengenai kemasukan jentera bagi membina pencawang di kawasan terlibat.

Sehubungan itu katanya, satu perjumpaan diadakan bersama dengan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor serta pihak kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja permulaan pada pagi Selasa.

"Saya difahamkan, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor sudah mengarahkan kerja-kerja ini dihentikan segera," jelas beliau.

Katanya, penduduk akan membuat laporan polis berhubung pencerobohan tanah milik kerajaan dan akan menghantar satu memorandum bantahan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Selangor serta Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

"Saya yakin MB (Menteri Besar) tidak bersetuju dengan perkara ini lebih-lebih lagi sebarang pembangunan di kawasan awam perlu mengikut SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan," jelasnya.