Sasar 50 peratus kawasan luar bandar dapat liputan 5G tahun depan

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menyasarkan untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan luar bandar di negara ini, mendapat liputan telekomunikasi teknologi 5G pada pertengahan tahun depan.Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan juga, akan memastikan tidak kurang daripada 85 peratus kawasan luar bandar, mendapat liputan 5G pada akhir 2024.

"Baki 15 peratus itu mungkin kawasan pergunungan dan sebagainya yang agak sukar. Kita tahu di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri), beliau amat progresif dari segi tasawwur, wawasan beliau.

"Kita lakukan koordinasi ini kerana merasakan rakyat di luar bandar juga berhak. Kita tidak mahu apabila mahu mencapai internet, mereka panjat pokok untuk dapatkan liputan. Jadi, ini harus kita elakkan, walaupun sukar tetapi kita boleh,” katanya pada program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kementeriannya bersama Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), telah mengenal pasti kawasan-kawasan Orang Asli untuk pemasangan peranti satelit Starlink, agar golongan tersebut juga tidak ketinggalan. Mengulas mengenai Belanjawan 2024 yang dibentangkan Anwar pada Jumaat lepas, Ahmad Zahid berkata, komuniti Orang Asli diperuntukkan RM333 juta, yang mencakupi pelaksanaan projek pembangunan sosioekonomi, prasarana dan pemberian bantuan sosial.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKWD juga menyasarkan seramai 400 anak-anak Orang Asli masuk ke universiti pada tahun depan, serta memastikan lebih ramai menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bukan berbentuk konvensional, sebaliknya menjurus kepada berteknologi tinggi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, usaha tersebut, merupakan pendekatan mobiliti sosial secara menegak, agar taraf hidup komuniti itu dapat dipertingkatkan.

"Saya berazam ke arah perkara itu di mana kita dapati petempatan Orang Asli di negara ini berselerak, namun di bawah Akta Orang Asli 1954 (Akta 134), kita akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara dan akan mengadakan kajian terperinci dengan kerajaan-kerajaan negeri, sebab kawasan rayau mereka banyak diceroboh,” katanya.

Sebelum ini, beliau memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan sedang melaksanakan semakan semula Akta Orang Asli 1954, bagi memperhalusi beberapa peruntukan membabitkan masyarakat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh mengenai keseluruhan peruntukan untuk KKWD dalam Belanjawan 2024, Ahmad Zahid berkata, sebahagian besar atau 64.4 peratus daripada RM11.5 bilion yang diperuntukkan kepada kementerian itu, adalah untuk pembangunan.

"RM7.4 bilion daripada keseluruhan RM11.5 bilion (untuk pembangunan) dan untuk perbelanjaan mengurus cuma RM4.1 bilion sahaja. Ini memperlihat keperihatinan kami untuk soal prasarana dan pembangunan di kawasan desa,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, penekanan juga akan diberikan terhadap kemudahan prasarana kepada penduduk di Sabah dan Sarawak termasuk bekalan air, elektrik, projek ameniti sosial dan kemudahan lain.

Dalam Belanjawan 2024, KKWD menerima peningkatan peruntukan 4.7 peratus atau RM513 juta termasuk RM2.4 bilion kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bagi merancakkan aktiviti agrikomoditi dan meningkatkan sosioekonomi pekebun kecil. - Bernama