Sasar 4 juta pengguna Touch 'n Go RFID tahun depan

Prabakaran (tengah) bersama Kon Yeow (kiri) melancarkan Kempen Touch 'n Go's Walao Eh Just In Penang pada Ahad.
Prabakaran (tengah) bersama Kon Yeow (kiri) melancarkan Kempen Touch 'n Go's Walao Eh Just In Penang pada Ahad.
A
A
A

TOUCH 'n Go Sdn Bhd mensasarkan empat juta pengguna akan menggunakan kemudahan digital Touch 'n Go RFID pada akhir tahun hadapan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Touch 'n Go Sdn Bhd, S Prabakaran berkata, sehingga kini pengguna berdaftar yang menggunakan kemudahan tersebut adalah tiga juta orang.

"Jumlah pengguna yang ada kini adalah tiga juga yang mana, dalam tempoh setahun lagi, kita mensasarkan pertambahan satu juta lagi pengguna yang akan menggunakan perkhidmatan digital ini, menjadikan empat juta pengguna menjelang hujung tahun 2024.

"Sebab itu, kita melancarkan promosi jelajah pada hari ini iaitu pelancaran trak bergerak untuk mendidik dan membantu masyarakat dalam penggunaan teknologi digital di Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Kempen Touch 'n Go's Walao Eh Just In Penang di sini pada Ahad.

Ia disempurnakan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang turut dihadiri oleh Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari.

Prabakaran berkata, Pulau Pinang dipilih menjadi lokasi pertama kempen tersebut dilancarkan kerana penggunaan Touch 'n Go RFID di negeri ini dicatatkan paling tinggi.

"Penggunaan Touch 'n Go RFID di Pulau Pinang paling tinggi antara negeri-negeri lain. Purata peratusan penggunaan di seluruh negara adalah 20 peratus, bagaimanapun di Pulau Pinang menunjukkan 26 hingga 28 peratus (penggunaan).

"Oleh itu, kita akan mempertingkatkan lagi usaha untuk mendidik masyarakat dan penduduk di negeri ini sejajar dengan 'Penang Digital'. Usaha ini juga untuk menukarkan amalan masyarakat kini kepada pembayaran digital pada masa akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, penggunaan Touch 'n Go RFID di Jambatan Pulau Pinang meningkat setiap tahun yang mana, ketika ini ia mencatatkan 28 peratus penggunaan.

"Penggunaan kemudahan digital ini meningkat dan peningkatan itu semakin ketara. Dulu mungkin ada beberapa masalah teknikal yang timbul tetapi kita telah berbincang dengan pihak-pihak tertentu untuk menyelesaikannya.

"Sekarang ini, penggunaan Touch 'n Go RFID lebih lancar menyebabkan keyakinan pengguna terhadap perkhidamatan ini semakin meningkat.

"Mengenai pertambahan lorong untuk Touch 'n Go RFID, kita kena berbincang dengan agensi kerajaan dan syarikat konsesi. Perkara itu sudah pun dibincangkan dan akan terus dibincangkan," katanya.