Peningkatan RM4.89 bilion, tingkat mutu perkhidmatan kesihatan negara

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bersama kira-kira 2,000 peserta melakukan senamrobik pada perasmian Program Karnival Segamat Sihat sempena Hari Sukan Negara, Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Bulan Kesedaran Kanser 2023 peringkat daerah di Dataran Segamat pada Sabtu. - Foto Bernama
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bersama kira-kira 2,000 peserta melakukan senamrobik pada perasmian Program Karnival Segamat Sihat sempena Hari Sukan Negara, Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Bulan Kesedaran Kanser 2023 peringkat daerah di Dataran Segamat pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SEGAMAT - Peningkatan peruntukan sebanyak RM4.89 bilion atau 13.45 peratus untuk Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Belanjawan 2024, dilihat mampu meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan negara, sekali gus memberi keselesaan kepada kakitangan kementerian itu dan pesakit.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, peruntukan terbesar tahun depan dengan jumlah RM41.2 bilion berbanding RM36.3 bilion tahun ini, juga membolehkan lebih banyak inisiatif dan projek pembangunan kesihatan dapat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.

"Tentunya dalam bajet sebesar ini ada pendekatan yang kita akan beri tumpuan, antaranya fasiliti-fasiliti yang akan kita teruskan untuk perbaiki dan tambah baik dan juga fasiliti-fasiliti daif yang ditambah nilainya.

Tahun lepas kita dapat RM100 juta, tapi pada tahun ni RM300 juta, maknanya tiga kali ganda kita dapat.

"Syukur, selain itu contohnya kalau di Johor, terdapat beberapa projek baharu tapi kerja-kerja awalan kita akan laksanakan seperti Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2), malah peruntukan itu juga kita akan buat untuk promosi kesihatan,” kata Ahli Parlimen Sekijang itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Karnival Segamat Sihat sempena Hari Sukan Negara, Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Kesedaran Kanser Peringkat Daerah Segamat, di Dataran Segamat di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan KKM menjadi antara kementerian yang menerima peningkatan peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2024 Malaysia Madani, iaitu sebanyak RM41.2 billion.

Berhubung Skim Perubatan Madani, Dr Zaliha berkata, setakat Jumaat sebanyak 1,849 klinik kesihatan swasta telah didaftarkan di seluruh negara untuk menyertai skim berkenaan, bagi meningkatkan akses penjagaan kesihatan primer bagi penyakit akut, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah.

Artikel Berkaitan:

Skim Perubatan Madani ditawarkan secara automatik kepada penerima Bantuan Tunai Rahmah, memberikan mereka akses mudah dan cepat kepada perkhidmatan percuma di mana-mana klinik swasta berdaftar, termasuk perundingan, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan.

Menyentuh isu kesihatan mental, Dr Zaliha berkata, berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang dilaksanakan oleh KKM, seramai 424,000 orang kanak-kanak di negara ini mengalami isu kesihatan mental, sepanjang tahun lepas.

"Trend ini dilihat semakin meningkat selepas daripada Covid-19 atau pasca-Covid-19.

KKM memang meneliti dan mengambil berat tentang perkara ini, selain melakukan beberapa intervensi serta kerjasama dengan agensi lain, khususnya berkaitan kanak-kanak termasuk Kementerian Pendidikan.

"KKM juga ambil pendekatan turun ke padang dan memberi pendedahan tentang kesihatan mental ini dan bagaimana pentingnya masyarakat perlu mengambil perhatian tentang kesihatan mental dan bekerjasama membantu mengatasi masalah ini,” katanya.

Zaliha berkata, antara faktor menyebabkan ramai kanak-kanak terjebak dengan isu kesihatan mental ialah disebabkan kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa.

"Pelbagai permasalahan kita telah diberitahu khususnya kanak-kanak yang duduk dalam keluarga B40 dengan emak dan ayah terpaksa keluar bekerja, mereka ditinggalkan di rumah. Terdapat juga faktor daripada sudut ke arah remaja seperti masalah hubungan dan sebagainya,” katanya. - Bernama