Belanjawan 2024: Peruntukan diguna tambah kapasiti pegawai MyCC

Armizan (kanan) beramah mesra dengan golongan orang kurang upaya pada Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Terengganu 2023 di Dataran Pantai Batu Buruk pada Sabtu.
Armizan (kanan) beramah mesra dengan golongan orang kurang upaya pada Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Terengganu 2023 di Dataran Pantai Batu Buruk pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Peruntukan RM10 juta kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dapat digunakan untuk menambah kapasiti pegawai penyiasat daripada agensi itu melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap wujudnya kartel yang mempengaruhi harga dan bekalan.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, setakat ini MyCC hanya mempunyai seramai 17 pegawai penyiasat yang bertugas menjalankan pemantauan tersebut.

"Kapasiti kita amat terhad di mana hanya 17 pegawai penyiasat di MyCC. Sebenarnya untuk perkasakan lagi pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kartel ini melibatkan agensi yang berkaitan seperti MyCC.

"Jadi dengan adanya peruntukan sebanyak RM10 juta itu antara fokus utama kita adalah menambah bilangan pegawai penyiasat MyCC dan beri latihan supaya dapat tingkatkan kompetensi pegawai tersebut bagi hadapi isu berbangkit (kartel beras)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Terengganu 2023 di Dataran Pantai Batu Buruk pada Sabtu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat memaklumkan KPDN serta MyCC diberikan peruntukan RM10 juta untuk membantu mengukuhkan pelaksanaan subsidi bersasar dirancang kerajaan.

Anwar berkata, gejala kartel dan pakat harga yang menyebabkan kenaikan harga berlebihan serta tidak terkawal bertentangan dengan prinsip Madani.

Mengulas lanjut, Armizan menyatakan pihaknya akan memaklumkan mengenai jumlah pegawai penyiasat MyCC yang akan ditambah dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pegawai penyiasat MyCC akan melakukan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kartel di semua industri.

"Semua jenis kartel dan bukan hanya beras tapi keseluruhan antaranya melibatkan penipuan dalam bidaan dan projek-projek kerajaan di mana mereka berpakat harga.

"Jadi amat penting untuk kita memastikan komitmen kerajaan dari segi ketelusan, tata kelola melalui proses tender dalam projek kerajaan di mana memerlukan juga pemantauan dan penguatkuasaan selain tidak berkompromi mana-mana VIP, " jelasnya.

Dalam pada itu, Armizan berharap menerusi peruntukan itu dapat menjalankan proses membuat pindaan Akta Persaingan 2010 bagi memperkukuhkan kerangka perundangan dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit antaranya kartel.

"Ini kerana negara sedang laksanakan proses penyasaran semula subsidi. Apabila kita sasarkan subsidi ini antara perkara penting dilakukan adalah pemantauan dan penguatkuasaan libatkan pelbagai akta untuk pastikan industri tidak berpakat sesama mereka untuk naikkan harga dan sebagainya.

"Saya berpendapat peruntukan diberikan oleh kerajaan adalah bersesuaian dengan cabaran bakal kita hadapi menerusi pelaksanaan subsidi secara berfasa," ujarnya.