Belanjawan 2024: RM1.1 bilion selesai isu bekalan air

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Perpaduan menerusi Belanjawan 2024 Malaysia MADANI menyediakan peruntukan RM1.1 bilion bagi menyelesaikan isu bekalan air, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau ketika membentangkan belanjawan bertemakan Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat itu di Dewan Rakyat hari ini berkata, kerajaan berikrar isu bekalan air bersih harus dinoktahkan terutama di Kelantan, Sabah dan Labuan.

"Bagi Kelantan, projek pembinaan Loji Rawatan Air Machang Fasa Satu berkapasiti 250 juta liter sehari akan dilaksanakan bagi meningkatkan rizab bekalan air. Paip simen asbestos juga diganti bagi mengurangkan kadar kehilangan air serta gangguan bekalan air ekoran paip bocor.

"Sementara menunggu projek siap, sewaan lori tangki dan tangki statik akan ditambah bagi memastikan rakyat Kelantan mendapat bekalan air segera ketika berlaku gangguan,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengatasi isu bekalan air di Kota Kinabalu, Sabah, tumpuan adalah untuk memulihkan dan menggantikan infrastruktur serta peralatan bagi meningkatkan kapasiti loji rawatan air, manakala di Labuan usaha ditumpukan kepada penggantian paip-paip usang serta membaik pulih infrastruktur sedia ada.

Anwar berkata, kerajaan akan memperkenalkan Program Komuniti MADANI di bawah seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi mendukung usaha memartabatkan ekonomi komuniti.

"Program ini bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti melibatkan lima sektor tumpuan iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.

"Setiap komuniti, baik di kampung mahupun di bandar akan diberikan kebebasan bermusyawarah untuk memutuskan sektor tumpuan pilihan mereka. Kerajaan akan menyediakan peruntukan RM1 bilion di bawah Dana Komuniti Madani (DKM),” katanya.

Beliau berkata, hal ini bagi menyediakan geran antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti untuk menjayakan Program Komuniti Madani.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Anwar berkata, penambahbaikan infrastruktur penduduk desa terus diberi keutamaan bagi merapatkan kesenjangan atau perbezaan antara wilayah.

Antaranya, RM1.63 bilion diperuntukkan bagi membina dan menaik taraf jalan di kampung dan desa termasuk di Bachok, Kelantan; Tambun Tulang, Perlis; dan Kuala Lukut ke Chuah, Port Dickson, Negeri Sembilan dan RM939 juta bagi menyediakan bekalan air kepada 5,150 rumah dan bekalan elektrik kepada 2,200 rumah.

Selain itu, Anwar berkata, kerajaan bersetuju memperkenalkan Program Kampung Angkat MADANI, yang menumpukan kepada usaha melengkapkan kemudahan asas termasuk Internet di kawasan desa yang terpinggir.

"Bagi memastikan ketangkasan jentera kerajaan agar tidak bertindak secara silo, saya mengarahkan semua Ketua Setiausaha dan Ketua Perkhidmatan untuk menggembleng tenaga rentas kementerian serta bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta badan swasta untuk menjayakan program ini,” katanya.- Bernama