KKM terima peruntukan RM41.2 bilion

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan meningkatkan peruntukan sebanyak RM41.2 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun hadapan berbanding tahun ini dengan jumlah RM36.3 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejumlah RM5.5 bilion daripadanya ialah untuk memperoleh bekalan ubat, bahan guna habis, reagen dan vaksin.

“Namun saya mengarahkan supaya perolehan ubat itu harus diteliti supaya tidak ada ketirisan.

“Selain tidak bergantung sepenuhnya kepada Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.

Menurut Anwar, beberapa projek pembangunan baharu akan mula dilaksanakan antaranya Kompleks Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Fasa 1 di Kota Tinggi, Johor dengan kos RM938 juta.

“Kerja awalan bagi pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2, Johor Bahru, Johor; Blok Patologi Tambahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan dengan kos RM 175 juta dan bangunan tambahan Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.

“Seterusnya, lima klinik kesihatan baharu antaranya di Rantau, Negeri Sembilan; Kuala Tahan, Jerantut, Pahang; Kuala Jengal, Dungun, Terengganu dan Pulau Mantanani, Kota Belud, Sabah dengan kos RM150 juta,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut menyokong hasrat Sarawak untuk membangunkan sebuah Institut Kanser di Sarawak.

Ujarnya, kerajaan turut akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan menyumber luar bagi terus mengawal kesesakan di hospital KKM.