Belanjawan 2024 tekad kerajaan memangkin pertumbuhan pekerjaan baharu

Mohammed Azman Aziz
Mohammed Azman Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Enam inisiatif Belanjawan 2024 untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mencerminkan tekad kerajaan dalam memangkin pertumbuhan pekerjaan baharu serta merungkai kelompangan jaringan perlindungan sosial. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, inisiatif melibatkan Bina Kerjaya PERKESO, sokongan pekerjaan, integrasi kumpulan sasaran dalam sektor awam dan pengecualian cukai untuk pengambilan pekerja wanita dilihat berupaya merancakkan lagi pasaran buruh negara.

“Penekanan kepada inisiatif peningkatan kemahiran dapat membantu pekerja sedia ada dalam sektor tidak formal dan formal bagi melengkapkan diri dalam menceburi peluang pekerjaan baharu. “Rangkaian peluang kerjaya baharu ini dijangka wujud sejajar peralihan ekonomi ke digitalisasi, tenaga boleh diperbaharui serta pekerjaan hijau,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM200 juta kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Perkeso untuk memperkasa jaringan perlindungan sosial dan memacu pasaran buruh, selari usaha kerajaan Persekutuan ke arah agenda reformasi struktur. Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, peruntukan berkenaan meliputi pelaksanaan enam inisiatif termasuk pengenalan dua inisiatif baharu.

Dalam pada itu, Mohammed Azman Aziz berkata, rangkaian inisiatif tersebut juga dengan selari hala tuju digariskan kerajaan untuk dilaksanakan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang menyasarkan pewujudan sejumlah 1.34 juta peluang pekerjaan. “Justeru, galakan kerajaan dengan menyediakan insentif menerusi suntikan fiskal dalam Belanjawan 2024 bakal menjadi pemangkin ke arah peningkatan jumlah pekerja berkemahiran tinggi yang akan memenuhi permintaan pasaran buruh di Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, penekanan kerajaan ketika ini tertumpu kepada sektor ekonomi penjagaan dan individu bekerja sendiri, khususnya bagi penggiat industri gig. Tambahnya, semua penyedia platform gig diharap menyambut baik saranan Perdana Menteri dan Menteri Sumber Manusia dalam meningkatkan perlindungan keselamatan sosial kepada dengan mengambil inisiatif menanggung baki 10 peratus caruman bagi penggiat gig demi kebajikan mereka.

“Dengan lonjakan peruntukan sebanyak 150 peratus kepada RM50 juta untuk Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), lebih ramai golongan suri rumah dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah dan miskin tegar dapat dilindungi. “Berdasarkan pangkalan data e-Kasih setakat Ogos 2023, kita mempunyai lebih 500,000 suri rumah yang menepati kelayakan Geran Caruman SKSSR, dengan 166,666 sudah didaftarkan ke skim ini.

“Sehubungan itu, baki golongan suri rumah lain yang direkodkan dalam pangkalan data e-Kasih akan berpeluang mendapat tajaan caruman, menerusi peruntukan RM50 juta yang diberikan kerajaan,” ujarnya. Tambahnya, keputusan menaikkan geran padanan caruman oleh kerajaan kepada 90 peratus berbanding 80 peratus sebelum ini bakal meningkatkan pendapatan boleh guna kepada 477,281 individu yang berkhidmat di industri gig.

Jelas beliau, syor kerajaan supaya pengendali platform gig untuk menampung 10 peratus lebihan caruman juga adalah wajar, memandangkan bayaran berkenaan perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam aspek kelangsungan kebajikan pekerja. “Saya yakin, dengan rangkaian inisiatif direncana kerajaan menerusi Belanjawan 2024 berupaya menjadi pemacu perubahan struktur yang perlu kita harungi, terutama selepas pandemik Covid-19,” jelasnya.

Artikel Berkaitan: