Angkat martabat wartawan

A
A
A

KABINET akhirnya secara dasar bersetuju untuk mengangkat penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) di Parlimen setelah dibincangkan sejak tahun 1970-an lagi.

Penubuhan MMC yang dinanti-nantikan oleh ramai pihak sudah tentu memberi era baharu dan transformasi dalam arena media di Malaysia.

Penubuhan majlis melalui pengawalseliaan media bebas ini sudah tentu mengangkat martabat dan standard kewartawanan, menaikkan tahap profesionalisme dan menyediakan ruang untuk arbitrasi aduan awam.

MMC kelak akan melindungi dan menaiktarafkan profesion kewartawanan media perdana khususnya cabaran digital yang terpaksa mereka tempuhi dari segi pemberitaan serta impak platform media sosial.

Ini kerana media sosial yang memberikan kesan amat mendalam, bukan sahaja trend ke arah mesej dan isu kebencian dan elemen-elemen hasutan dan fitnah, malah ditambah juga dengan faktor-faktor berita palsu.

MMC juga diharap dapat memperincikan pindaan undang-undang yang lama agar lebih sesuai dan relevan mengikut perkembangan teknologi. Selain itu, penubuhan majlis media perlu selaras dengan keperluan media cetak dan media elektronik secara menyeluruh.

Pada asalnya, majlis akhbar wujud di negara-negara yang tidak dikawal oleh undang-undang berkaitan akhbar, misalnya Sweden (1916) dan England (1946). Ia dilakukan supaya akhbar lebih bertanggungjawab kepada masyarakat.

Sebaliknya, di negara-negara lain undang-undang akhbar diwujudkan untuk mengawal akhbar. Lazimnya, akhbar dan media di negara-negara ini bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

MMC ialah sebuah majlis media yang meliputi seluruh media di negara ini iaitu media cetak, media elektronik (penyiaran) dan media internet. Secara amnya majlis ini bertujuan untuk menjaga kepentingan akhbar/media, sekali gus menjaga kepentingan negara.

Selain itu, ia memastikan kebebasan akhbar dan media dipertahankan, liputan yang objektif serta tidak berat sebelah. Juga menjaga saluran media dengan orang ramai sentiasa terbuka serta memantau dari masa ke masa undang-undang serta akta berkaitan dengan media.

MMC juga mampu menjadi badan rujukan berhubung perkara berkaitan akhbar, media dan kewartawanan. Selama ini wartawan merujuk etika dan peraturan yang tidak diluluskan oleh pihak berwajib atau Parlimen.

Jalan buntu

Hakikatnya, untuk sekian lama usaha untuk menubuhkan sebuah majlis akhbar di negara ini menemui jalan buntu kerana pihak akhbar melihat usaha ini sebagai berkemungkinan menjadi satu lagi alat untuk mengawal akhbar atau media oleh kerajaan.

Apatah lagi media dikaitkan dengan kepentingan dan pemilikan oleh parti politik. Kemelutnya ini berpanjangan kerana agak sukar untuk mendapat titik persamaan dan persetujuan dari segi maksud kebebasan dan ketulusan.

Pada era media sosial kini semua orang mendakwa dirinya ‘wartawan’ kerana juga menyumbang berita dalam talian. Namun mereka ini tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang kewartawanan.

Usaha untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia ini mendapat tentangan yang serupa jika tidak ada langkah di pihak Kerajaan untuk melonggar beberapa peruntukan undang-undang yang dilihat sebagai mengongkong akhbar atau media di negara ini.

Antara undang-undang atau peruntukan yang dianggap mengongkong kebebasan media seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Diharap dengan pelaksanaan MMC ini sesuatu permit penerbitan itu diluluskan sekali saja dan tidak dibaharui setiap tahun.

Tindakan memansuhkan pembaharuan permit penerbitan setiap tahun akan menimbulkan muhibah antara kerajaan dan akhbar/media di negara ini ke arah membentuk sebuah Majlis Media yang benar-benar 'self-regulatory'.

Selain itu Akta Rahsia Rasmi juga dianggap ‘merencat’ daya kreativiti wartawan. Akta ini amat menggerunkan editor dan wartawan. Ada kes di mana perasuah boleh berlindung di bawah akta ini untuk melindungi salah lakunya.

Ini akan menyebabkan negara akan menanggung kerugian bila ini berlaku. Dengan tertubuhnya MMC, ia diharap dapat menyediakan media yang terbuka, bertanggungjawab dan telus.

Selain dapat membantu membina keyakinan terhadap media serta menyumbang kepada kredibiliti organisasi media berita khususnya media perdana.

*Prof Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara