Penyelidikan perubahan iklim, alam sekitar

Angkasa-UKM tingkatkan kesedaran pelajar sekolah

A
A
A

Abdul Fattah (dua,kiri) dan Wan Kamal (dua, kanan) bertukar MoA mengenai perjanjian penyelidikan isu perubahan iklim dan alam sekitar di Dewan Datuk Mohd Ali Baharum, Wisma Ungku A Aziz, Kelana Jaya pada Jumaat.
Abdul Fattah (dua,kiri) dan Wan Kamal (dua, kanan) bertukar MoA mengenai perjanjian penyelidikan isu perubahan iklim dan alam sekitar di Dewan Datuk Mohd Ali Baharum, Wisma Ungku A Aziz, Kelana Jaya pada Jumaat.

PETALING JAYA - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memeterai Memorandum Perjanjian Penyelidikan (MoA) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai usaha meningkatkan kesedaran pelajar sekolah terhadap isu perubahan iklim dan alam sekitar.

Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, kerjasama yang dimeterai dalam tempoh dua tahun itu bermula Oktober ini hingga September 2025 yang menjurus kepada penyelidikan serta kajian melalui pelaksanaan Program Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok.

Program itu katanya, melibatkan aktiviti menanam sejuta pokok bagi menyokong agenda kerajaan menghijaukan negara menerusi Kempen Penanaman 100 juta Pokok 2021-2025.

“Justeru, kajian ini akan memberi tumpuan kepada lokaliti program iaitu melihat pengaruhnya ke atas tahap pengetahuan dan kesedaran para peserta (anggota koperasi sekolah) berkaitan peranan serta fungsi hutan dalam membantu mitigasi perubahan iklim.

ABDUL FATTAH
ABDUL FATTAH

“Selain itu, turut difokuskan ialah kesan aktiviti manusia, impak perubahan iklim jangka pendek dan panjang serta langkah untuk mengurangkan impak tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Hasil daripada kajian ini, satu laporan penilaian secara komprehensif dan penerbitan jurnal akan dihasilkan pihak UKM. Seterusnya, ia menjadi rujukan supaya lebih banyak lagi program kesedaran serta aktiviti pemeliharaan alam sekitar dapat dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Menandatangani MoA di antara Angkasa dengan UKM di Dewan Datuk Mohd Ali Baharum, Wisma Ungku A Aziz, Kelana Jaya, di sini pada Jumaat.

Angkasa diwakili Abdul Fattah manakala UKM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Datuk Dr Wan Kamal Mujani.

MoA itu merupakan kesinambungan daripada kerjasama di antara kedua-dua institusi itu yang telah melaksanakan usaha pemuliharaan hutan terosot di Kompartment 19, Hutan Simpan Sungai Lalang, Semenyih, Selangor pada Mac 2021.

Hasil daripada kerjasama sebelum ini, sebuah modul pengajaran dan pembelajaran telah terhasil iaitu Sejuta Pokok Segunung Harapan dan program Train of Trainers (ToT) dengan anggota koperasi sekolah di kawasan Lembah Klang.

WAN KAMAL
WAN KAMAL

Tambah Abdul Fattah, isu perubahan iklim dan pemuliharaan alam sekitar sentiasa menjadi perhatian di seluruh dunia yang mana ia memberi impak besar ke atas landskap ekonomi, sosial dan juga politik.

Malah katanya, Angkasa selaku badan apeks gerakan koperasi negara yang diiktiraf oleh kerajaan sentiasa komited menambah baik dasar, polisi serta hala tuju gerakan koperasi dengan menerap dan mengadaptasi prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tatakelola (ESG).

Usaha itu katanya turut memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan penglibatan koperasi dalam bidang ekonomi yang berdaya tahan iklim dan mampan seiring dengan gagasan Malaysia MADANI.

“Kenaikan suhu bumi, bencana banjir dan kemarau antara kesan perubahan iklim serta menyebabkan hasil pertanian terjejas yang memberi impak kepada bekalan makanan sedunia.

“Pemuliharaan hutan merupakan langkah yang perlu diambil oleh semua pihak agar impak negatif ini dapat dikurangkan atau dihentikan sepenuhnya untuk generasi masa depan,” ujarnya.