NRECC lantik 34 ahli panel penasihat perubahan iklim

Nik Nazmi - Foto Bernama
Nik Nazmi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melantik 34 ahli panel penasihat perubahan iklim sebagai usaha mengurangkan gas rumah kaca di peringkat global serta meningkatkan daya tahan ke atas kesan perubahan iklim.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, mereka yang dilantik terdiri daripada individu mempunyai kepakaran dalam bidang perubahan iklim dan wakil daripada pelbagai sektor, antaranya pihak kementerian, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, syarikat utiliti, ahli industri, pakar akademik serta bukan akademik.

Menurut beliau, panel penasihat akan bertindak sebagai penghubung antara kerajaan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan seperti peneraju atau pemain industri,sektor kewangan dan kerajaan negeri serta komuniti.

"Penubuhan panel penasihat perubahan iklim adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan agenda perubahan iklim negara menjadi perkara arus perdana penting.

"Ahli panel penasihat ini akan menyumbang idea dan pandangan berdasarkan enam kluster utama iaitu Ekonomi dan Kewangan, Perdagangan Perindustrian, Sumber Asli, Tenaga, Pembangunan Lestari serta Teknolog Inovasi," katanya dalam sidang media mesyuarat pelantikan Panel Penasihat Perubahan Iklim di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis.

Beliau berkata, mesyuarat tersebut turut membincangkan gerak kerja bagi Persidangan Negara Ahli ke-28 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP 28).

Tambahnya, persidangan tersebut akan diadakan di Dubai bermula 30 November 2023 sehingga pertengahan Disember 2023.

"Ini juga merupakan komitmen dan sumbangan negara kepada usaha global ke arah mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dan meningkatkan daya tahan kesan perubahan iklim," katanya.